Showing posts with label puisi. Show all posts
Showing posts with label puisi. Show all posts

17 December 2009

Malu Ibn Abdus

Posted by Emel: | 17 December 2009 | Category: | 0 Komen


Hari ini daku menyaksikan,
Petunjuk tuhan,
Satu kejadian,
Berlatarkan sekolah di sebuah pekan,
Ketika sesi muzika berjalan,
Di kala si guru mengajar tarian,
Sebagai sesi pemanas badan,
Buat murid yang masih tak keruan,
Di hari pertama sesi persekolahan,
Di satu sudut jelas kelihatan,
Ibn Abdus putera kenalan,
Putera teman sepengajian.

Ibn abdus...si kecil itu,
Menangis tersendu-sendu,
Dirinya dihampiri guru,
Tubuh kecilnya diranduk, dipujuk, dirayu,
Mengapa kau menangis wahai anakku,
Mengalir air mata syahdu,
Di waktu teman lain bersuka ria menari rambu?
Takut, begitulah ucapnya,
Bila guru memintanya,
Memegang tangan pasang tarinya,
Yang jelas bukanlah mahramnya,
Umi kata, lagak itu haram hukumnya,
Abi kata, Allah jua menjadi murka,
Tika yang sama jua,
Titis permata mengalir dari kelopak sepetnya,
Takutnya dia!
Takut pada larangan yang Maha Esa,
Pada dosa,
Pada sengsara,
Balasan di akhirat sana.

Ibn Abdus itu,
Usianya baru darjah satu,
Muslim juga sepertiku,
Punya Allah...tuhannya dan tuhanku,
Tapi sungguhpun begitu,
Dia dan daku,
Ibarat bumi menghijau dan langit membiru,
Berbeda darjat di sisi Tuhan yang Satu.

Daku bukan muslim yang soleh,
Daku lebih liberal, lebih terbuka, lebih ‘orang putih’,
Bukan mahramku, dikala terang mahupun sorekh,
Berpegang tangan, berlaga pipi menjadi pilih,
Kononnya lebih rapat dan lebih berkasih,
Bukan deen ini yang aku tak faqih,
Tapi ‘trend’ sekarang tak boleh didalih,
Kalau tak, kelak jadi tersisih,
Takutkan tuhan menjadi pipih,
Bila ditegur orang yang muslih,
Bibirku menjuih, “Relakslah, rambutku belum putih!”
Masih ada masa untuk dosa dibersih.

Istighfarlah wahai diri,
Malu daku dengan si kecil tadi,
Lebih besar maluku pada Ilahi,
Selama hidup, syariatNya ada yang kutaati,
Ada yang kuingkari,
Istighfarlah diri!
Deen ini bukan acuan sendiri,
Tapi panduan Tuhan untuk manusiawi,
Memimpin kita ke jalan abadi,
Menyelamat kita dari binasa hakiki.
Sungguh! Aku malu,
Pada tuhanku,
Juga pada si kecil itu.

Ku sedar khilaf ini perlu kubetulkan,
Wajar kembali ke pangkal jalan,
Kerna hidup ini sekadar hiburan,
Seharusnya kugigih mengumpul bekalan,
Untuk dikendong ke hari kemudian,
Menjadi jaminan ke syurga impian.

Buat umi dan abi si kecil itu,
Didikanmu membina jitu,
Peribadi si kecil itu,
Ku ucapkan doa setulus kalbu,
Keberkatan dan keselamatan untuk kamu,
Semoga Allah menjaga dirimu,
Diri puteramu,
Dan diri setiap muslim yang menegak syariatMu.


Sumber: www.iluvislam.com

09 December 2009

Jadilah Seorang Lelaki Yang Beriman

Posted by Emel: | 09 December 2009 | Category: | 0 Komen

Jadilah seorang lelaki yang beriman,
Yang hatinya disalut rasa taqwa kepada Allah,
Yang jiwanya penuh penghayatan terhadap Islam,

Yang sentiasa haus dengan ilmu,
Yang sentiasa dahaga akan pahala,
Yang solatnya adalah maruah dirinya,
Yang tidak pernah takut untuk berkata benar,
Yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu,
Yang sentiasa bersama kumpulan orang-orang yang berjuang di jalan Allah.

Jadilah seorang lelaki,
Yang menjaga tutur katanya,
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya,
Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya,
Yang sentiasa berbuat kebajikan kerana sifatnya yang penyayang,
Yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang.

Jadilah seorang lelaki,
Yang menghormati ibu bapanya,
Yang sentiasa berbakti kepada orang tua dan keluarga,
Yang bakal menjaga kerukunan rumahtangga,
Yang akan mendidik isteri dan anak-anak mendalami Islam,
Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan,
Kerana dunia baginya adalah rumah sementara menuju akhirat.

Jadilah seorang lelaki,
Yang sentiasa bersedia untuk menjadi imam,
Yang hidup di bawah naungan al-Quran dan mencontohi sifat-sifat Rasulullah,
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara,
Yang menjaga matanya dari berbelanja,
Yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya.

Jadilah seorang lelaki,
Yang tidak pernah membazirkan masa,
Matanya kepenatan kerana membaca al- Quran,
Suaranya lesu kerana penat berzikir,
Tidurnya lena dengan cahaya keimanan,
Bangunnya Subuh penuh kecergasan,
Kerana sehari lagi usianya bertambah kematangan.

Jadilah seorang lelaki,
Yang sentiasa mengingati mati,
Yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat,
Yang mana buah kehidupan itu perlu dibaja dan dijaga,
Agar berputik tunas yang bakal menjaga baka yang baik,
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian.

Jadilah seorang lelaki,
Yang tidak terpesona dengan buaian dunia,
Kerana dia mengimpikan syurga Allah.