01 August 2008

Mengutip ‘Ibrah Daripada Peristiwa Isra’ Dan Mi’raj

Posted by Emel: | 01 August 2008 | Category: |


Maksudnya: Maha suci Allah Yang telah memperjalankan hambaNya (Nabi Muhammad s.a.w.) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya [1], untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, Lagi Maha Mengetahui.

(Surah Al-Isra’: 1)


Sempena bulan Rejab, bulan Isra’ dan Mi’raj, marilah kita sama-sama mengambil beberapa ‘ibrah (pengajaran) daripada peristiwa ini. Coretan risalah ini hanya menukilkan sebahagian kecil daripada ‘ibrah yang dapat diambil daripada peristiwa Isra’ dan Mi’raj.


  1. Allah S.W.T. menceritakan dalam ayat di atas, ayat pertama daripada Surah Al-Isra’ tentang peristiwa Isra’dan Mi’raj. Kemudian, ayat-ayat seterusnya menceritakan perilaku dan keburukan Bani Isra’il. Apakah perkaitan di antara peristiwa Isra’ dan Mi’raj dengan kisah-kisah Bani Isra’il yang mengkufuri Allah dan Rasul?

Perkaitannya sangat jelas di mana peristiwa Isra’ dan Mi’raj merupakan suatu simbol dan titik pengisytiharan bahawa Rasulullah adalah penghulu para Nabi dan Rasul dan Rasul akhir zaman yang diutuskan untuk seluruh ummat manusia di sepanjang zaman. Isra’ dan Mi’raj menjadi titik perbezaan di antara kerasulan sebelumnya yang terhad untuk suatu masa dan kaum yang tertentu. Sedangkan Rasulullah diutuskan untuk seluruh ummat manusia sepanjang zaman. Hubungan di antara Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa yang menjadi qiblat kepada semua penganut agama Samawi (Islam) yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul hendaklah disedari oleh Bani Isra’il bahawa perutusan Rasul akhir zaman adalah dari berketurunan Bani Isma’il dan tidak lagi Bani Isra’il. Lantaran kekufuran dan keangkuhan Bani Isra’il kepada Allah dan Rasul, mereka tidak lagi menjadi pilihan Allah. Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya: “Alangkah buruknya hasil perbuatan mereka yang menjual dirinya sendiri dengan kekafiran kepada apa yang diturunkan oleh Allah. Kerana dengki bahawa Allah menurunkan kurniaNya (mengutus Rasul) kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, kerana itu mereka mendapat murka sesudah mendapat kemurkaan.”

(Surah Al-Baqarah: 90)


  1. Sebelum peristiwa Isra’ dan Mi’raj Rasulullah dan para sahabat dalam keadaan ditekan oleh musuh-musuh. Antara tekanan-tekanan yang diberikan ialah penyeksaan, pemulauan dan penentangan bukan sahaja dari dalam kota Makkah bahkan di luar Makkah seperti Ta’if. Hal ini berlaku selepas kewafatan Saidatina Khadijah dan kematian Abu Talib yang banyak memberi perlindungan kepada Rasulullah dan da’wah Islamiyyah. Kehilangan ini bukan hanya dirasai oleh Nabi s.a.w. bahkan seluruh kaum Muslimin. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj memberi motivasi kepada Rasulullah dan para sahabat dalam perjuangan mereka. Dalam peristiwa ini, Allah Ta’ala telah menunjukkan gambaran janjiNya, ganjaran yang bakal diperoleh di syurga bagi orang Mu’min dan azab yang pedih lagi dahsyat yang bakal menimpa oleh mereka yang kufur. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj menguatkan lagi keimanan dan semangat kaum Muslimin dalam memperjuangkan Islam.

  1. Perjalanan Isra’ Rasulullah dari Baitullah ke Baitul Maqdis mempunyai makna yang cukup besar. Di antaranya ialah menandakan bahawa Baitul Maqdis bukanlah suatu tempat yang biasa. Ia adalah tempat yang banyak diutuskan para Nabi dan Rasul. Ia menunjukkan pertalian yang erat antara Nabi Muhammad s.a.w. dengan para Nabi dan Rasul seluruhnya sebelum baginda.

Peristiwa ini juga memberi isyarat bahawa tanah suci Baitul Maqdis perlu dijaga dari sebarang bentuk pencerobohan. Jika dikaji kita akan mendapati bahawa jatuh bangun ummat Islam berkait rapat dengan Baitul Maqdis. Apabila Baitul Maqdis dibebaskan, dibuka semula oleh Saidina ‘Umar r.a. ini menunjukkan Islam telah menguasai dunia. Kemudian ummat Islam dijatuhkan dengan jatuhnya Al-Quds ke tangan tentera Salibiyyah. Kemudian ia dibebaskan kembali oleh Salahuddin Al-Ayyubi r.h. Selepas Perang Dunia Pertama, Khilafah Islamiyyah Turki Utsmaniyyah telah berpecah dan dijajah oleh Britian dan kuasa-kuasa besar Barat. Selepas kejatuhan Khilafah dengan penggantian sistem Republik oleh Mustafa Kamal Al-Tarturk pada 1924 berakhirlah kegemilangan ummat Islam. Baitul Maqdis telah ditawan oleh Yahudi laknatullah dengan pembentukan wilayah haram Israel. Sejarah ini membuktikan pihak yang menguasai Baitul Maqdis akan menguasai dunia. Ini menandakan kuasa besar dunia kini berada di tangan Israel. Kita dapat lihat hari ini tiada siapa selain ummat Islam berani menentang Israel. Semua tunduk walapun Amerika dan Britain yang majoriti rakyatnya menganut agama Kristian. Amerika dan Britain tetap membela Israel kerana Israel telah mengawal dunia!


  1. Betapa tinggi, berat dan pentingnya ‘ibadah solat fardhu sehingga baginda menerima perintah solat daripada Allah S.W.T. tanpa perantaraan malaikat Jibril a.s. baginda menerimanya dalam Mi’raj ke Sidratul Muntaha. Ibadah solat umpama tiang agama. Solat juga merupakan perkara yang pertama dihisab di hadapan Allah S.W.T. di Akhirat kelak.

[1] Masjidil Aqsa dan daerah sekitarnya mendapat berkat daripada Allah dengan diturunkan para nabi dan rasul di negeri itu dan kesuburan tanahnya.


Rujukan:

1. Kitab Ar-Rahiqul Maktum; Syeikh Syafiyurrahman Al-Mubarakfury

2. Fiqh Al-Sirah Jilid 1; Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti; terbitan Dewan Pustaka Fajar

3. Fiqh Al-Harakah 1; Tuan Guru Haji ‘Abdul Hadi Awang; terbitan Dewan Pustaka Fajar



MOHD IZZU’DDIN BIN ISMAIL

Mantan Pengerusi,

KNU Sesi 2006/2007,

UPM Kampus Bintulu.


Currently have 0 Komen: