11 October 2008

Berjayakah Kita?

Posted by Emel: | 11 October 2008 | Category: |


Berlalulah sudah Ramadhan
Sebulan berpuasa
Tiba syawal kita rayakan
Dengan rasa gembira…


Begitulah bait-bait lagu yang didendangkan sejak awal bulan Ramadhan lagi sehingga ke hari ini, dan biasanya akan berpanjangan sepanjang bulan Syawal ini. Tetapi, bukanlah lirik lagu ini yang hendak disyarahkan dalam entry kali ini. Juga bukan tentang muzik.

Saya ingin mengajak kita semua bermuhasabah. Setakat mana tarbiyyah Ramadhan meresap ke dalam jiwa kita. Setakat mana acuan Ramadhan memberi kesan kepada kehidupan kita setelah melepasi program tarbiyyah taklifi yakni yang direncanakan oleh Rabb ini. Adakah kita masih mengamalkan kehidupan Islam sebagaimana di bulan Ramadhan? Adakah kita masih konsisten dengan bacaan ayat suci Al-Quran setiap malam satu juzuk sebagaimana di bulan Ramadhan? Di sinilah dapat kita mengukur kejayaan ibadah di bulan Ramadhan kita.

Sebenarnya, Ramadhan adalah satu bulan yang Allah kurniakan kepada ummat Nabi Muhammad bagi membangunkan potensi beribadah kepadaNya. Di sana ada ganjaran pahala yang berlipat kali ganda yang tidak ada di bulan lain. di sana juga ada Lailatul Qadr yang lebih baik daripada seribu bulan. Sepatutnya, selepas melepasi tarbiyyah Ramadhan, kita menjadi semakin mantap dalam amal Islami. Menjadi ghairah untuk beribadah adalah petanda kejayaan Ramadhan.

Ramadhan menyaksikan masjid-masjid dan surau penuh dengan ummat manusia. Tetapi, masjid kembali sunyi, lengang tanpa pengunjung apabila Ramadhan berlalu. Ini adalah fenomena yang menyedihkan. Adakah keterikatan kita dengan masjid disebabkan oleh suasana di sekeliling kita? Adakah keghairahan beribadah di bulan Ramadhan hanyalah satu kerja rutin yang menjadi adat di bulan Ramadhan dan bukannya ibadat sebagai tanpa penghambaan kepada Sang Pencipta?

Allah Ta’ala mensyari’atkan puasa Ramadhan dengan beberapa latihan yang khusus supaya iman kita semakin mantap untuk menempuhi kehidupan yang penuh mencabar ini. Diharamkan bersama isteri di siang hari, menahan diri daripada makan dan minum adalah satu bentuk latihan ruhiyyah buat manusia. Isteri adalah halal bagi suami. Makan dan minum yang halal adalah harus bagi manusia. Tetapi dilarang di siang hari di bulan Ramadhan sebagai tamrin kepada kita.

Puasa Ramadhan mengajar kita bagaimana untuk menghadapi dugaan dalam kehidupan seharian yang penuh dengan keinginan, harta, pangkat, syahwat dan kedudukan dan sebagainya. Satu latihan bagaimana untuk mengawal, mengekang hawa nafsu.

Tanda-tanda kejayaan Ramadhan ialah sifat istiqamah terbentuk dalam diri kita. Kita tetap melaksanakan amalan sebagaimana amalan kita di bulan Ramadhan. Kita bukan berqimullail hanya untuk mendapatkan ganjaran pahala. Tetapi kita berqiamullail untuk mendapatkan mardhotillah.
Melihat suasana hening yang kembali menyelubungi Pusat Islam UPMKB membuatkan hati ini sayu. Sehinggakan solat Subuh bermakmumkan bilal seorang dan adakalanya hanya solat secara fardi sahaja tanpa jama’ah yang hadir bersama di Pusat Islam.

Cuba kira renungkan… kenapa kita berubah sedemikian? Mengapa tidak konsisten?

Wahai mahasiswa Islam, jadikanlah setaip hari umpama hari-hari di bulan Ramadhan. Jadikan amalan kita seperti kita berada di Ramadhan sepanjang tahun. Bangkitlah wahai pemuda Islam! Ta’atlah kepada perintah Allah kerana kamulah kunci kebangkitan dan kejayaan ummat ini!


Wira Islam
9.21 p.m.
10 Oktober 2008
UPMKB.

Currently have 0 Komen: