18 February 2009
Mahasiswa UPMKB Digesa Memperkasakan Budaya Ilmu
Perpustakaan UPM Kampus Bintulu sedang melangsungkan program berbentuk kempen “Sumbang Buku” bermula 6 Februari hingga 27 Februari 2009. Namun, sepanjang pengamatan saya, setelah dua minggu program dijalankan, jumlah buku yang disumbangkan amatlah mendukacitakan. Hanya empat buah novel dan sebuah buku di dalam kotak yang disediakan untuk sumbangan buku. Tiga buah novel disumbangkan oleh seorang siswi dan saya turut menyumbangkan sebuah novel dan sebuah buku.
Amatlah malang jika mahasiswa yang digelar golongan intelek tidak member sokongan kepada program seumpama ini. Bagi saya perkara ini sedikit sebanyak mencerminkan bahawa pelajar UPMKB secara umumnya atau kebanyakannya tidak membudayakan membaca dan tidak memiliki bahan bacaan untuk disumbangkan. Mungkin yang dibeli dan dikumpulkan hanyalah komik-komik dan majalah-majalah yang tidak bermanfaat.
Justeru, saya harap mahasiswa UPMKB terutama ahli KNU dapat turut serta bagi membantu menambahkan koleksi bahan bacaan di perpustakaan universiti. Ingatlah, sedekah jariah dan ilmu yang bermanfaat tidak akan terputus pahalanya selagi mana manfaatkan dapat digunakan oleh ummat manusia walaupun kita telah meninggal dunia.
Saya juga merasa sedikit terkilan apabila secara kasarnya dapat disimpulkan bahawa amatlah jarang pelajar UPMKB yang menggunakan kemudahan internet sebagai sumber bahan bacaan ilmiah dan maklumat terkini seperti akhbar online. Rata-rata pelajar hanya menggunakan internet bagi tujuan menyiapkan assignment, melayari laman jaringan sosial seperti Friendster dan MySpace dan chatting melalui Skype dan Yahoo! Messager.
Ini bukanlah tuduhan melulu tanpa sebarang usul. Sepanjang pengalaman saya di kampus UPMKB, kebiasaan pelajar tidak ambil tahu perkembangan isu-isu semasa di luar kampus. Mungkin saya tiada bukti secara survey. Tetapi melalui sembang-sembang dan menziarahi bilik rakan-rakan sedikit sebanyak memberi gambaran yang kukuh. Sebagai contoh, pada tahun 2006 ketika saya berada di semester pertama, timbul isu berlakunya tsunami kecil kali kedua di Indonesia. Setelah sebulan isu itu dicanang, masih ramai pelajar tidak tahu. Apabila saya bersembang soal isu semasa rata-rata tidak tahu dan tidak mahu mengambil tahu. Mungkin contoh ini terlalu lama tetapi realitinya masih berlaku hingga ke hari ini seperti dalam isu Palestin dan sebagainya. Cubalah kita tanya rakan-rakan kita apakah laman web yang kita kunjungi sehari-hari? Berapa kali dalam seminggu kita membaca akbar dan bahan berilmiah?
Berkaitan soal kepimpinan pelajar dan kesedaran berorganisasi juga, mahasiswa UPMKB masih belum menunjukkan kematangan. Kebiasaan program anjuran kelab dan persatuan, MTM, MPP, kolej mahupun universiti hanya dihadiri dan disertai oleh individu-individu terntentu sahaja. Saya juga terkilan apabila melihat kunjungan ke blog MTM dan MPP amatlah jarang dan hanya dilayari beberapa kali dalam seminggu. Begitu juga dengan blog KNU. Layanan amat mendukacitakan. Jumlah pelawat blog MTM, MPP dan KNU dianggarkan sekitar 1-5 sehari berdasarkan kaunter pelawat yang pernah diletakkan di dalam blog berkenaan. Bilangan komen bagi maklumat-maklumat yang disampaikan kebiasaannya tiada sahutan dan komen. Usahkan untuk memberi komen tentang kepimpinan mahasiswa, hendak mengambil peduli tentang kepimpinan pun tidak ada. Jika blog kurang menarik pun sekurang-kurangnya ambillah sikap peduli dengan member teguran. Apa yang sering dimain-mainkan di kampus kita hanyalah isu-isu kebajikan diri sendiri untuk dimanja-manjakan seperti Astro, set TV yang besar dan kemudahan-kemudahan sampingan. Bukanlah isu kebajikan yang lebih luas dan penting untuk semua mahasiswa. Tidak nampak mana kredibiliti dan idealisme sebagai seorang mahasiswa. Hal ini jelas hanya menampakkan tahap kesedaran mahasiswa terhadap nilai kepimpinan itu sendiri.
Bagaimana masyarakat hendak berharap kepada mahasiswa sebagai golongan intelek dan bakal peneraju kepimpinan negara andai inilah sikap kita.
Sekadar renungan. Sebarang perbahasan dan komen amat dialu-alukan. Komen di sini atau emelkan kepada saya, iz7_phoenix@yahoo.com.
MOHD IZZU’DDIN BIN ISMAIL
Bacelor Sains Bioindustri Semester 6
Mantan Pengerusi KNUUPMKB Sesi 2006/2007
Currently have 0 Komen:
Post a Comment