18 March 2009

AGM '09 PMIUM: Ucapan Presiden

Posted by Emel: | 18 March 2009 | Category: , , |


Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan kepada kita ruang dan peluang untuk sama-sama kita mengecapi nikmat perjuangan Islam sedari kampus. Saya mewakili saff kepimpinan mengalu-alukan kehadiran sahabat-sahabat sekalian ke Mesyuarat Agung Tahunan PMIUM kali ke- ini. Salam ukhuwah dan mahabbah kami ucapkan kepada sahabat-sahabat sekalian.

Tema “Bersatu Mengembalikan Izzah, Bersama Mengisi Kemenangan” bagi Mesyuarat Agung kali ini menjadi begitu penting dan mencabar tambahan masa kini kita berhadapan dengan dunia yang jauh berbeza dengan masa lalu. Masyarakat mula membuka mata terhadap apa yang diperjuangkan oleh kita selama ini. Mereka mula menilai sejauh mana tahap pencapaian yang kita mampu berikan pada mereka. Mereka mengimpikan berlakunya suatu perubahan. Mereka menaruh kepada kita segunung harapan. Maka dengan itu saya mengimpikan sidang muktamirin sekalian menggunakan ruang dan peluang pada muktamar kali ini sebagai suatu medan muhasabah dan perbincangan hala tuju PMIUM pada masa hadapan.

MUQADDIMAH

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran; ayat 26.

“Katakanlah: Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

Hadirin yang dimuliakan,

Seorang tokoh mahasiswa aliran kiri pada tahun 1960-an berkata, “Dunia ini adalah milik anak muda dan tanpa mereka dunia tidak akan berubah!”. Ya, ungkapan ini ada kebenarannya yang tersendiri apabila kita menyemak lipatan sejarah mengenai episod perubahan politik dan sosial yang berlaku di seluruh dunia sejak zaman berzaman. Sejarah dunia ini dilakarkan warnanya oleh anak-anak muda kerana mereka mempunyai kekuatan semangat, cita-cita, keazaman, idealisme untuk berubah, dan menjadi agen perubahan. Sirah Rasulullah SAW juga menyaksikan Baginda dibangkitkan bersama-sama dengan anak-anak muda yang berani menentang arus jahiliyah. Mereka sanggup berdada dan menyingsing lengan berdepan dengan penguasa yang taghut lagi zalim. Madrasah Tarbiyah Nabi SAW telah ramai melahirkan pemuda-pemuda dakwah seperti Mus’ab bin Umair, Talhah bin Ubaidullah, Zubair bin Al-Awwam, Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Uthman bin Affan, Arqam bin Abi Arqam, dan lain-lain. Mereka adalah anak-anak muda yang terasuh dengan semangat yang kental oleh Baginda Nabi SAW.

As-Syahid Syed Qutb menyatakan bahawa mereka ialah generasi Al-Quran yang unggul hasil manhaj Rasulullah SAW. Hanya golongan seperti merekalah yang akan diberikan nikmat kemenangan oleh Allah SWT. Mahu atau tidak kita mestilah berusaha menuju ke arah tersebut.

Ikhwah dan akhawat yang dikasihi sekalian,

SEMARAKKAN GELOMBANG TARBIYAH, RANCAKKAN DAKWAH

Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran; Ayat 146.

“Dan berapa banyaknya Nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikutnya yang bertakwa (ditarbiyah). Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar”.

Adik beradik seperjuangan yang ku kasihi sekalian,

Ayat di atas menunjukkan kepada kita bahawa orang yang setia dalam medan dakwah ini adalah orang yang telah ditarbiyah jiwa mereka dan mereka kental dalam mendepani tribulasi semasa. Atas faktor itu, kita merasakan bahawa tarbiyah merupakan faktor utama kewujudan PMIUM ini. Lantarannya kita meletakkan visi kali ini ialah “Ke Arah Mengembalikan KeIzzahan Islam”.

Tarbiyah PMIUM bermula semenjak ia ditubuhkan awal-awal dahulu. Tidak lain dan tidak bukan tujuannya adalah untuk menerapkan idea “faham Islam” kepada seluruh mahasiswa Muslim Universiti Malaya khususnya dan non-Muslim umumnya. Kita bercita-cita tinggi untuk melihat setiap mahasiswa muslim di UM ini komited dalam mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Bahkan lebih jauh dari itu kita mengimpikan setiap daripada kita mampu mendepani cabaran-cabaran pemikiran semasa yang merosakkan dengan hujah-hujah intelektual yang padu dan matang. Justeru inilah yang memberikan nilai yang tinggi terhadap pembentukan individu muslim yang sejati.

Sesungguhnya sekali kita terjun ke jalan dakwah ini, jangan sekali-kali kita keluar. Jalan dakwah kita ini jauh, jalan dakwah kita ini penuh berliku, jalan dakwah kita ini panjang. Ya, setiap peringkat atau marhalah yang kita lalui ini mempunyai cabarannya tersendiri. Cabaran ini, menuntut pemimpin membuat percaturan terbaik dalam membentuk jiwa ahli yang tahan, kepimpinan juga bertanggungjawab membantu dan memimpin ahli untuk terus bersemangat dalam jalan ini. Maka aspek pembinaan ahli perlu diperkasakan. 

Menyedari hakikat itu, pelbagai langkah telah diambil. Pelbagai program dan aktiviti giat diatur untuk memastikan setiap warga kampus menyedari dan terasa akan kehadiran gelombang dakwah PMIUM. Skuad BADAR dan Program Ziarah Mesra (PZM) terus diperkasakan. Risalah-risalah seperti Rusydan dan Ekspresi diedar secara berkala. Perhatian PMIUM terhadap mahasiswa Non-Muslim yang berminat dengan Islam terus dipertingkatkan. Kita sedaya upaya menjayakan Kuliah Ilmu sebagai pengisian berkala kepada warga kampus. Kita mengimpikan suasana ilmiah terus berkembang subur dalam Uni Perdana ini. Klimaks dari itu, kita telah menganjurkan Latihan Kepimpinan Islam Universiti Malaya (LAKIUM) pada semester yang lalu.

Rentetan dari itu, kita juga telah menganjurkan Simposium Perdana Mahasiswa Islam (SIDANA). Ia bertujuan membicarakan hala tuju sebenar mahasiswa Islam era ini. Dalam pada itu kita juga merangka seminar Hudud dan Temasya Sukan PMIUM (TEMAN), namun atas sebab-sebab tertentu ia terpaksa ditangguhkan. Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh penggerak-penggerak PMIUM sehingga persatuan ini dinobatkan sebgai persatuan paling aktif di UM ini. Insya Allah, usaha yang kita lakukan ini akan mendapat nilaiannya di sisi Allah kelak.

Namun begitu, disebalik pelbagai usaha yang dilakukan, PMIUM masih lagi dilihat kurang berjaya untuk bertindak sebagai sebuah gerakan dakwah secara optimum dan berkesan. Medan dakwah PMIUM masih lagi berada pada takuk lama. Medan-medan baru masih belum dapat di gapai. Kolej-kolej kediaman masih belum berjaya diterobos keseluruhannya. Golongan-golongan untapped market masih lagi dilihat luar dari kerangka dakwah PMIUM. Secara mudahnya, PMIUM masih lagi bersifat eksklusif kepada golongan yang Islamik sahaja. 

Gerakan dakwah Non-muslim pula, walaupun boleh dipuji dari segi gerakan secara sir atau ’senyap’ sehingga berjaya membantu mengIslamkan lebih dari 1O orang warga kampus, namun PMIUM masih lagi belum berjaya untuk bertindak secara zahir dan terang mengajak mahasiswa bukan Islam untuk memahami dan mendekati Islam.

Disebalik banyak kelemahan dan kegagalan yang terus menghantui Gerakan Dakwah PMIUM, beberapa perkara dan perubahan yang baik dan positif seharus nya dikekalkan bahkan diberikan penambahbaikan.

Antaranya ialah inisiatif untuk membawa keluar tarbiah PMIUM kepada masyarakat kampus secara terbuka. Ia merupakan satu langkah yang baik, namun pengurusannya perlu diperkasakan. PMIUM juga harus terus merencanakan pelbagai bentuk wacana, diskusi dan program yang bersifat ilmiah dalam usaha untuk meningkatkan budaya ilmu dan intelektual di kampus. Namun begitu, di samping giat berwacana dan berprogram, aspek kebajikan mahasiswa, sepatutnya menjadi keutamaan, kerana ia merupakan antara method yang paling berkesan untuk memenangi hati mad’u.

Setiap warga kampus yang beragama Islam pasti punya ekspektasi yang tinggi terhadap PMIUM untuk bertindak secara efektif dan holistik sebagai gerakan dakwah. Kerana itu, kita perlu menyedari dan mengerti bahawa tidak cukup dengan sekadar kita mengaturkan program, aktiviti dan menjaga kebajikan mahasiswa, tetapi kita harus memahami bahawa senjata paling ampuh yang dimiliki oleh PMIUM untuk bertindak selaku gerakan dakwah adalah batang tubuh sahabat-sahabat sekalian sebagai ahli utama PMIUM yang sepatutnya menjadi duta-duta Islam, duta-duta PMIUM, bahkan menjadi contoh dan rujukan warga kampus dalam urusan agama dan juga urusan harian, akademik dan sebagainya. Kita inginkan ahli yang memahami konteks dakwah secara agresif dan bersikap proaktif. Kita mengimpikan gelombang dakwah rancak dan berkembang mekar di arena kampus kesayangan kita.

Jika ahli-ahli yang begini sifatnya dapat kita lahirkan, di samping pimpinan yang padu dan berpengurusan, insyaAllah PMIUM benar-benar akan kembali gemilang sebagai gerakan dakwah yang menerajui kampus.

Kata Al-Banna, Mursyidul Am Ikhwanul Muslimun yang pertama; “Suasana telah menghendaki untuk kita berada di dalam generasi yang ummatnya berebut-rebut dan bertarung untuk kekal dengan begitu sengit dan kemenangan sentiasa diperolehi oleh sesiapa yang telah mempunyai kekuatan. Begitu juga suasana menghendaki kita supaya menghadapi kesilapan yang lampau dan menelan kepahitannya. Adalah menjadi kewajipan kita untuk memperbaiki dan membalut keretakan serta menyelamatkan diri kita dan anak-anak (generasi) kita, mengembalikan kemuliaan, keagungan, menghidupkan tamadun dan ajaran agama kita”.

Kita impikan rijal dakwah yang bijak dan tegas, rijal yang tidak berdendam, rijal yang berpegang pada kebenaran, rijal yang berjiwa mulhid, rijal yang amanah, rijal yang pemurah, rijal yang prihatin kepada masalah ummat, rijal yang merendah diri, rijal yang sedia mengetepikan kepentingan diri, rijal yang bercakap benar, rijal yang tidak mudah diperdaya dengan musuh, rijal yang mempunyai pendirian, rijal yang tidak mementingkan kemewahan, rijal yang sentiasa berpesan kepada kebenaran.

Sidang Muktamirin yang di kasihi sekalian,

PERLUASAN PENGUASAAN SIASAH

Berbicara soal siasah, setiap ahli hendaklah mempunyai pemikiran yang strategik (strategic thinking). Penerapan mengenainya hendaklah diasuh semenjak awal mengenali usrah. Kita tidak mahu ahli yang hanya tahu dalil-dalil, namun aplikasinya dalam menggerakkan harakah ini mereka gagal. Kita mengiginkan ahli yang peka terhadap isu semasa, bijak berfikir dan merancang, cepat menanggapi sesuatu, mahir dalam menganalisis, tepat dalam membuat keputusan, serta profesional dan teliti dalam melaksanakan sesuatu gerak kerja. Kita inginkan ahli yang memahami dan menjiwai gerak kerja yang mereka lakukan, bukan ahli yang hanya menuruti arahan membuta tuli.

Pada waktu yang sama, kita juga berusaha menerapkan pemikiran dan minda yang bersifat menguasai. Ini kerana Islam itu sifatnya menguasai bukan dikuasai. Kita berusaha untuk mengawal dan mengurus masyarakat kampus dari segenap ruang dan peluang yang ada di hadapan kita. Kita tidak mahu masyarakat kampus terlibat dengan maksiat dan mengingkari perintah Allah. Kita percaya walaupun jumlah kita sedikit, namun kita mampu untuk menguasai masyarakat kampus dengan memegang roda-roda pergerakan mereka.

Sebagai sebuah gerakan mahasiswa Islam, PMIUM tidak boleh lari daripada menjadi satu badan yang responsif dalam memberikan reaksi isu-isu berkaitan dengan Islam. Kita telah mengambil bahagian secara aktif dalam usaha untuk mengembalikan penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI), isu-isu lain seperti penghinaan terhadap perundangan Islam oleh ‘Bar Council’, kezaliman Zionis Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza, dan sebagainya. Bahkan PMIUM diiktiraf sebagai salah satu suara muda yang perlu diberikan perhatian dan dilibatkan dalam Majlis Perundingan Islam dibawah Jabatan Perdana Menteri. Pun begitu, terdapat beberapa isu yang tidak ditangani oleh PMIUM itu sendiri seperti isu Pengkid dan Gerakan pemuda Kahfi. Sebagai muhasabah dan renungan, seharusnya lambakan isu yang banyak tidak boleh dijadikan alasan kerana sebagai organisasi gerakan Islam memang kita perlu mengetahui apakah perkara asas yang perlu ditangani berkaitan isu-isu keagamaan yang berlaku.

KE ARAH MEMPERKUKUHKAN GERAKAN HEWI

Para sahabat sekalian,

Berteraskan visi PMIUM iaitu “Menerajui Massa Ke Arah Mengembalikan Keizzahan Islam”, HEWI terus mengorak langkah dalam merealisasikan misi “Menggerakkan Agenda Pembangunan Mahasiswi Di Setiap Peringkat”. Dengan mengekalkan tema Mahasiswi 3B (Bijak, Berani, dan Berdikari), HEWI tampil dengan pembawaan yang lebih ’segar’ dan menepati kehendak ahli PMIUM khususnya dan warga kampus amnya. Sesuai dengan perkembangan semasa, HEWI telah ditukarkan nama kepada Lajnah Hal Ehwal Wanita dan Mahasiswi dan tampil dengan logo baru yang berwarna hijau muda. Malah unit-unit dalam HEWI juga telah dirombak semula. Pada sesi ini, HEWI menganjurkan pelbagai aktiviti dan program dengan menyerap elemen-elemen tarbiyah, siasah, dakwah, dan akademik agar lahirnya mahasiswi Muslim yang profesional sebagai agen perubahan dan pemangkin kegemilangan Islam.

PMIUM berbangga dapat bekerjasama dengan Persatuan Bahasa Cina Universiti Malaya (PBCUM) untuk program Forum Wanita 08. Program tersebut dilihat mampu memberikan impak positif dalam menerajui massa dan mengukuhkan perpaduan. Kita juga turut gembira melebarkan jaringan kebajikan dengan meraikan anak-anak istimewa dalam majlis berbuka puasa Ramadhan yang lalu, bekerjasama dengan pihak polis Brickfields dan pihak Keselamatan Universiti Malaya dalam Kempen Keselamatan Siswi. Selain itu, HEWI juga mengadakan Sukan Mingguan Siswi di Tasik Varsiti.

Walaupun begitu, HEWI masih dianggap kurang menyerlah di kalangan warga kampus dan masih tidak dapat menambat hati seluruh kampus.

Buat mahasiswi yang saya kasihi sekalian,

Setiap mahasiswi pendokong Islam mestilah benar-benar menyedari bahawa mereka mempunyai peranan yang tersendiri dalam membina kekuatan ummah dan mendorong perjuangan ke mercu kejayaan. Oleh itu saya merasakan HEWI merupakan platform terbaik buat mahasiswi bersatu. Walaupun mahasiswi ataupun Muslimah khususnya dikenali sebagai golongan yang lemah-lembut, namun dari fakta sejarah telah membuktikan bahawa mereka telah memberikan sumbangan yang sangat besar ertinya kepada perjuangan Islam.

Sejak awal kelahiran Islam sehinggalah cahaya cahaya Islam menerangi jazirah Arab dan kawasan persekitaranya, medan perjuangan Islam tidak pernah sunyi daripada penyertaan angkatan Muslimah. Mereka turut serta mengharungi liku-liku perjuangan, menghadapi rintangan, memberikan bantuan dan semangat, pengorbanan harta benda, melepaskan anak-anak dan suami yang mereka cintai malah ada dikalangan mereka yang gugur syahid kerana perjuangan Islam.

Di dalam Al-Quran Allah berfirman menerusi Surah Al-Mumtahanah; ayat 12.

“Wahai Nabi, apabila datang kepadamu perempuan-perempuan yang beriman untuk mengadakan janji setia, bahwa mereka tiada akan menyekutukan Allah, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anaknya, tidak akan berbuat dusta yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka [perbuatan yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka itu maksudnya ialah mengadakan pengakuan-pengakuan palsu mengenai hubungan antara pria dan wanita seperti tuduhan berzina, tuduhan bahwa anak si Fulan bukan anak suaminya dan sebagainya] dan tidak akan menderhakaimu dalam urusan yang baik, maka terimalah janji setia mereka dan mohonkanlah ampunan kepada Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Oleh itu saya merasakan HEWI harus melangkah dengan lebih jauh dengan gerakan mahasiswi yang lebih tegar dan proaktif. Isu-isu berkaitan mahasiswi dan wanita sewajarnya menjadi tumpuan utama untuk diberi penjelasan. Tokoh-tokoh serta figure mahasiswi yang lebih ramai perlu dilatih dan ditampilkan. Maka dengan itu, bersatulah wahai seluruh mahasiswi PMIUM di dalam usaha mendokong peranan mahasiswi kerana kesatuan lambang kekuatan.

PEMERKASAAN AKADEMIK DAN PEMBANGUNAN INTELEKTUAL


Ilmu mestilah menjadi asas kepada semangat juang ahli gerakan Islam, tanpa ilmu semangat yang berkobar-kobar mungkin sahaja boleh dipadamkan dengan ugutan, ancaman, tawaran wang, harta benda, kemudahan, dan sebagainya. Sehubungan dengan itu, kita seharusnya sedaya upaya meningkatkan prestasi akademik agar ia seiring dalam perjalanan dakwah ini dan tidak mendatangkan fitnah dan keburukan kepada gerakan Islam. Tidak dinafikan ramai dikalangan kita yang menghadapi masalah akademik yang serius dan perkara ini tidak boleh dipandang enteng. Sehubungan dengan itu, soal akademik harus menjadi ‘prioriti’ dalam jadual kehidupan harian kita.

Dalam masa yang sama peranan setiap ahli adalah memastikan bahawa kebajikan dari sudut akademik antara kita terpelihara. Jangan ada dikalangan kita yang tidak endah dan mementingkan diri sendiri. Kejayaan sahabat-sahabat yang lain juga adalah kejayaan kita.

PENUTUP

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Agama ini membangun melalui jihad generasi silam yang berlandaskan asas-asas yang kukuh iaitu keimanan kepada Allah, mengenepikan kesenangan hidup yang sementara kerana mengutamakan kehidupan yang kekal abadi, berkorban dengan darah, nyawa dan harta demi menegakkan kebenaran, mereka juga cintakan mati pada jalan Allah.

Jadikanlah segala asas yang kukuh ini sebagai landasan kebangkitan kita, perbaiki diri kita, pusatkan dakwah kita dan pimpinlah umat ke arah kebaikan. Allah akan sentiasa bersama kita dan Allah tidak akan mensia-siakan amalan kita. Janganlah kita berputus asa kerana ia bukan sifat orang Islam, Kenyataan hari ini adalah impian semalam dan impian hari ini adalah kenyataan hari esok. Masa masih panjang dan anasir-anasir yang baik dan kuat masih ada dalam diri bangsa kita yang beriman walau bagaimana dasyat sekali pun kedurjanaan yang melanda. Orang yang lemah tidak selamanya akan lemah sepanjang hidup. Manakala orang yang kuat tidak selamanya akan kuat. Firman Allah dalam Surah Al-Qasas; ayat 5-6.

“Dan kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi bumi (negeri Syam dan Mesir dan negeri-negeri sekitar keduanya yang pernah dikuasai Fir’aun dahulu sesudah kerajaan Fir’aun runtuh, negeri-negeri ini diwarisi oleh Bani Israil) [5]; Dan akan kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi dan akan kami perlihatkan kepada Fir’aun dan Haman beserta tentaranya apa yang selalu mereka khuwatirkan dari mereka itu (Fir’aun selalu khawatir bahwa kerajaannya akan dihancurkan oleh Bani Israil kerana itu dia membunuh anak-anak lelaki yang lahir dalam kalangan Bani Israil. Ayat ini menyatakan bahawa akan terjadi apa yang dikhawatirkannya itu) [6]”.

Masa mencipta pelbagai peristiwa penting. Peluang akan tiba untuk melakukan sesuatu yang lebih besar. Dunia sedang menanti dakwah kita iaitu dakwah memimpin, membawa kejayaan dan kesejahteraan untuk membebaskan mereka daripada segala kepahitan yang dialami selama ini. Kini tiba giliran kita untuk memimpin mahasiswa. Sentiasalah kita terus mara kehadapan.

Kita mengharapkan Allah dan mereka tidak. Bersedialah dan mulalah beramal pada hari ini kerana mungkin esok kita tidak lagi berupaya. Saya sampaikan juga pesanan buat mereka yang bersemangat dikalangan kita supaya bersabar dan menunggu pusingan masa. Saya pesan juga pada mereka yang tidak mahu bangkit dan beramal bahawa jihad ini tidak mengenal erti rehat.

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) kami, benar- benar akan kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. dan Sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.” (Surah Al-Ankabut: ayat 69)


Semoga dalam kesempatan yang wujud ini dapat kita manfaatkan seoptimum mungkin bagi merencana gerakan PMIUM yang lebih cemerlang dari masa ke semasa. Luahkanlah idea, pandangan, kritikan dan pendapat kita untuk kepentingan ummah dan bukannya bersifat peribadi. Jadikanlah medan yang tersedia ini sebagai medan untuk kita bermuzakarah secara baik dan penuh dengan keikhlasan.

Saya mewakili barisan kepimpinan mengucapkan jutaan terima kasih di atas kerjasama, sokongan, pengorbanan, idea dan bantuan yang telah sahabat-sahabat semua berikan kepada kami. Segala kelemahan dan kesilapan mohon untuk diperbaiki. Marilah kita berdoa semoga Allah memberi taufiq dan hidayahNya kepada kita sepanjang laluan perjalanan kita.

Sekian, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wa Barakatuh.

Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar, Walillahilhamd.


Muhammad Haafizuddin bin Abirerah
YDP PMIUM sesi 2OO8/2OO9.


Currently have 0 Komen: