21 August 2009

Salam Ramadhan Al-Mubarak

Posted by Emel: | 21 August 2009 | Category: |


Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh


Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allahu Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan 'inayahNya kita masih diberi peluang untuk terus bernafas di alam syahadah ini. Hari ini kita sudah dikunjungi Ramadhan Al-Mubarak, tetamu yang ditungg-tunggu oleh setiap insan yang beriman yang rindu dan cinta kepada Tuhannya. Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah: 183)

Justeru, marilah kita meletakkan iltizam untuk mempertingkatkan ibadah kepada Ilahi. Semoga kita termasuk dalam golongan yang mendapat ijazah taqwa selepas bergraduat daripada universiti Ramadhan ini.

Allah S.W.T. telah menguji Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat dengan peristiwa perang Badar Al-Kubra yang berlaku di dalam bulan Ramadhan, ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa. Mereka bersabung nyawa untuk mempertahankan Kota Madinah daripada serangan tentera Musyrikin Makkah. Namun, akhirnya mereka beroleh kemenangan yang besar. Hari ini, kita berdepan dengan ujian serangan pandemik H1N1 yang sedang melanda umat manusia seluruh dunia. Semoga dengan keberkatan Ramadhan, kita dapat menghadapi musibah ini dengan jiwa yang tenang. Sesungguhnya, kesabaran menghadapi musibah dapat dilatih melalui ibadah puasa. Semoga Allah menyelamatkan kita semua daripada wabak ini.

Pada tahun ini, Bulan Ramadhan disambut sebelum kita meraikan ulangtahun Hari Kebangsaan Ke-51. Pasti ada hikmah di sebalik sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini. Diharap sambutan pada tahun ini meneruskan corak sambutan Hari Kebangsaan peringkat UPMKB pada tahun lepas yang diacu dengan sentuhan Rabbani bagi menghormati kesucian bulan Ramadhan ini. Semoga semangat merdeka yang kita pasak di dalam jiwa turut diberi ganjaran pahala oleh Allah S.W.T. Sesungguhnya, semangat cintakan keamanan dan perjuangan membebaskan tanah air daripada belenggu kezaliman penjajah adalah suatu perkara yang dituntut dalam Islam. Dari sudut yang lain, kita seharusnya dapat memerdekakan diri kita daripada belenggu nafsu dan syaitan dan mengamalkan Islam seluruhnya tanpa dipengaruhi anasir penjajah yakni syaitan.

KNU sentiasa bekerjasama dengan Pusat Islam UPMKB dalam dalam menjayakan program sepanjang bulan Ramadhan ini. Diharap program-program yang dianjurkan mendapat sambutan yang jitu daripada mahasiswa Islam UPMKB.

Akhir kata, saya mewakili seluruh ahli jawatankuasa Kelab Nasyid Al-Ukhuwwah mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa fardhu Ramadhan. Semoga Allah menerima amalan kita. Selamat berpesta ibadah!

“Ukhuwwah Teras Pembangunan Ummah”

MUHAMMAD IDRIS BIN PO’AT
Pengerusi,
Kelab Nasyid Al-Ukhuwwah Sesi 2008/2009
UPM Kampus Bintulu.

Currently have 0 Komen: