20 April 2010

ISIUKM: JAD Komited Gempur "Say No To Khalwat"

Posted by Emel: | 20 April 2010 | Category: |

Bangi, 18 April 5.00pm | Seramai 50 orang ahli Ikatan Studi Islam telah menginfakkan masa mereka untuk gerak gempur “Say No To Khalwat” di bawah Jentera Amali Dakwah (JAD) kelolaan Lajnah Perpaduan Nasional malam tadi. Gerak gempur yang bermula jam 11.00 malam ini diketuai oleh saudara Faisal dari Fakulti Kejuruteraan. 50 orang ini telah dibahagikan kumpulan untuk bergerak di fakulti-fakulti dan kolej-kolej bagi mengedar risalah dakwah kepada sasaran iaitu mahasiswa/i yang berdua-duaan dan yang tidak menjaga ikhtilat.

“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada ahli yang sudi turun bergerak gempur pada malam tadi. Saya cukup terharu apabila mereka sanggup menggadaikan masa belajar tambahan pula ketika minggu peperiksaan ini. Malah, jumlah ahli yang turun pada kali ini lebih ramai berbanding 20 orang saja yang terlibat untuk gerak gempur kali pertama ketika minggu persediaan peperiksaan,” saudara Wan Ahmad Fahmi B Wan Abdul Hamid, Ketua Pengarah JAD berkata.

Presiden ISIUKM, Mohd Nazri B Mohd Tahir ketika ditemui berkata JAD merupakan usul yang dipersetujui ahli ISIUKM untuk pembawakan pimpinan 2010/2011 ketika Muktamar Sanawi lalu. Bagi merealisasikan usul ini, kelolaan JAD ini diserahkan kepada Lajnah Perpaduan Nasional dengan diketuai oleh saudara Wan Ahmad Fahmi dari Fakulti Pendidikan. Beliau juga mengharapkan komitmen setiap ahli ISIUKM untuk menggerakkan dakwah di bumi UKM seperti dalam firman Allah S.W.T dalam surah Ali Imran ayat 104:

"Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung."

Allah juga telah berfirman dalam surah An-Nahlu ayat 125:

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk."

Sumber: Blog ISIUKM

Currently have 0 Komen: