06 July 2010

PMI: Selamat Datang ke Kampus!

Posted by Emel: | 06 July 2010 | Category: |


KUALA LUMPUR, 6 Julai 2010 - Persatuan Mahasiswa Islam seluruh negara semalam menyambut kehadiran mahasiswa baru ke kampus masing-masing yang bermula 3 Julai.

Di Universiti Kebangsaan Malaysia, ahli-ahli Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM) menyambut ibu bapa dan mahasiswa baru di hadapan pintu pagar utama. Seawal 7.45 pagi, para sukarelawan sudah bersedia dengan kain rentang bertulis 'Selamat Datang kepada Mahasiswa Baru'.


Presiden ISIUKM, Mohd Nazri Bin Mohd Tahir, di dalam perutusannya mengalu-alukan kehadiran mahasiswa baru ke kampus UKM. Beliau menyeru agar menghayati semula peranan selaku mahasiswa supaya menguasai pelbagai ilmu dan kemahiran bagi menjadi seorang yang kompeten dan hebat kepada masyarakat.

"Mahasiswa perlu menggunakan setiap ruang inci di dalam kampus untuk menjadi manusia yang berprinsip dan berjaya" katanya dipetik melalui perutusan ISIUKM menyambut pelajar baru.


Sementara itu, di Universiti Malaya, sambutan mahasiswa baru dimeriahkan oleh Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Sukarelawan PMIUM yang diketuai Presidennya, Ahmad Syazwan Bin Mohd Hassan mengedarkan peta lokasi universiti serta cenderahati PMIUM kepada ibu bapa yang hadir.

Ditanya mengenai program PMIUM, beliau berkata bahawa pada sesi kepimpinannya akan membawa kelainan kepada mahasiswa baru dan berhasrat menganjurkan banyak program turun padang bersama mahasiswa.

Manakala di Universiti Putra Malaysia (UPM), sambutan mahasiswa baru diserikan dengan edaran belon PMIUPM kepada keluarga dan pelajar baru. Rata-rata mahasiswa baru mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan PMI di kampus kerana memudahkan urusan serta menjadi pembantu untuk mendaftar.


Sumber: Mahasiswakini

Currently have 0 Komen: