11 November 2009

Menzahirkan Kebencian Pada Kemungkaran Juga Syiar

Posted by Emel: | 11 November 2009 | Category: |

Ada yang kata, "kita telah membina masjid-masjid dan surau-surau untuk penduduk kampung dan masyarakat. Inilah buktinya kita juga memperjuangkan Islam". Siapa yang kata, aku pun tak tahu. Menjadi tuntutan bagi kita untuk menegakkan syiar Islam dalam kehidupan kita. Sama ada dalam keluarga mahupun peringkat masyarakat. Sekiranya Islam tidak ditegakkan syiarnya maka kita telah mengabaikan tuntutan tersebut.

Masjid, surau, madrasah, Pejabat Agama Islam, ukiran-ukiran kesenian Islam dan bangunan-bangunan bercirikan Islam merupakan antara syiar yang dizahirkan secara fizikal. Azan, takbir, perarakan sambutan hari kebesaran Islam, ceramah, kuliah dan kelas-kelas pengajian, bicara berkaitan hukum pula antara syiar secara bukan fizikal. Sebenarnya, terlalu banyak syiar Islam sekiranya disebutkan di sini. Budi bahasa yang baik dan berpakaian menutup aurat dengan sempurna juga syiar.

Menurut pandangan saya, asalkan sesuatu perkara yang mengangkat martabat Islam dalam masyarakat dan menegakkan suruhan Allah, itu adalah syiar. Bahkan cara berpakaian juga adalah syiar. Banyak yang boleh disentuh. Alangkah ruginya jika kita menganggap syiar itu hanya pada menzahirkan syiar secara fizikal tetapi umat Islamnya kosong dengan petunjuk dari Allah.

Sebenarnya, saya mahu berkongsi bahawa menzahirkan kebencian kepada mungkar yang berlaku dalam masyarakat juga adalah syiar. Selaku mahasiswa, saya lebih fokuskan situasi di kampus. Sedihnya melihat kawan-kawan kita yang tersalah memilih jalan hingga tidak mempedulikan hukum hakam Islam. Bercouple, bonceng sambil bouncing di bonggol, berjalan berdua-dua tanpa alert dengan fitnah yang menanti, free-hair, pakaian wanita yang ketat-ketat, lelaki berseluar pendek dan banyak lagi. Na'udzubillah..

Jadi, saya ingin membawa agar kita renungkan bersama bahawa sekiranya kita membenci sesuatu mungkar secara terang-terangan itu, adakah selama ini kita sebagai seorang yang mampu tersenyum sambil berbisik hati, 'moga-moga korang bahagia dunia dan akhirat'. Huh, kawan kita yang berjalan dengan awek dia, tetapi hati kita masih boleh berbisik sebegitu!

Saya sebut contoh itu sebab isu inilah yang selalu melanda di alam kampus.

Justeru, tak salah sekiranya kita menunjukkan kebencian kita terhadap perkara mungkar tersebut supaya couplers itu beralih perhatian seperti bermasam muka, memberi salam, tenung mereka lama-lama sampai segan atau kalau berani, tegur terus! Tabik..

Sekurang-kurangnya, kita mahu mereka tahu bahawa ada juga orang yang membenci perbuatan mereka. Bukannya mereka tidak tahu halal haram, tetapi 'menanti hidayah Allah' sebenarnya tanpa usaha meninggalkan larangan itu. Itu juga syiar!

Lepas itu, bila jumpa lain waktu, jagalah hubungan kita dengan mereka. Sekiranya mereka bukan berada dalam keadaan mungkar, maka usahlah kita merosakkan hubungan. Bahkan lebih bagus jika berjumpa dan bercakap secara hikmah.

'Tadi aku tenung engkau sambil bermasam muka, itulah yang aku mampu untuk tegur. Aku tak suka perbuatan itu, bukan membenci engkau". Lepas tu, tambahlah ayat bonus atau tazkirah yang melembutkan hatinya.

Kempen-kempen seperti kempen no maksiat, no bonceng dan sebagainya juga sebagai langkah menzahirkan bahawa masih ada pihak yang membenci kemungkaran tersebut sekali gus membuka minda masyarakat kampus akan larangan-larangan agama.

Baiklah, sekadar itu sahaja perkongsian kali ini. Syiar Islam itu amat luas. Bukalah minda kita selagi ada ruang-ruang sekecil lubang jarum hinggalah seluas-luas alam, tegakkanlah syiar Islam di muka bumi ini dengan penuh tanggungjawab.

Menzahirkan kebencian Pada Kemungkaran juga adalah Syiar Islam.

Wallahu'alam.


Hafizul Hazman bin Ngaa
Pengerusi Biro Pembangunan Insan
MTM Kolej Sri Rajang
DPT Sem 5
UPM Kampus Bintulu

Currently have 0 Komen: