23 December 2009

Ewah-ewah: Hedonisme Terbuka

Posted by Emel: | 23 December 2009 | Category: |


Ke manakah hala tuju umat Islam di Malaysia kini kalau hiburan yang sering dicanangkan di media. Tidak cukup dengan rancangan realiti tv yang telah membarah ke dalam masyarakat Justify Fullmenyokongnya, muncul pula rancangan-rancangan baru yang kosong manfaatnya. Hanya sekadar berhibur. Tidak mengingatkan kepada tuhan, melupakan tentang kematian yang memanggil, apatah lagi memberi keinsafan agar menjadi manusia yang lebih baik setiap hari.

Berjoget-joget, melompat-lompat, tergedik-gedik, mengada-ngada, melalak; itulah yang boleh digambarkan dengan rancangan 'Ewah-Ewah' terbitan tv3 yang dihoskan oleh 2 orang raja iaitu Raja Azura dan bekas juara Raja Lawak Astro, Nabil. Setiap episode ditonjolkan tema dan permainan baharu dengan idea yang kreatif.

Program itu juga seolah-olah mengajak para belia supaya buangkan rasa malu untuk berhibur di khalayak ramai. Kelakuan di atas pentas yang kurang beretika, gaya rambutnya tidak menggambarkan masyarakat timur apatah lagi menepati syariat Islam, aurat terdedah, percampuran lelaki perempuan sambil menari, sentuhan sesuka hati dan semua itu boleh ditafsirkan sebagai BUDAYA HEDONISME. Ianya dilakukan terang-terangan! Di manakah maruah sebahagian wanita Islam pada zaman ini sehingga tiada perasaan malu berjoget, terjerit-jerit, bergolek-golek di khalayak ramai?

Hedonisme menurut kamus dewan bermaksud pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup. Jadi, ada sesiapa tidak bersetuju bahawa rancangan itu berbentuk hedonisme?

Tidak keterlaluan jika dikatakan suasana di studio rancangan itu seperti 'pusat hiburan' yang terbuka untuk tatapan umum. Joget di atas pentas sambil penonton bertepuk tangan dan berjoget sekali. Beberapa 'Mak cik' pun ada sekali berjoget!!?? Astaghfirullah al'azim. Perkara yang boleh dipuji hanyalah idea kreatif penganjur.

Alangkah tidak pedulisme menteri kita akan budaya tidak sihat ini. Walaupun secara zahirnya ianya nampak hiburan bersifat sementara namun pernahkah kita memikirkan kesannya terhadap pembinaan modal insan yang disebut-sebut 'Pak Lah' dulu? Zaman Islam Hadhari pun masih banyak rancangan yang meruntuhkan nilai moral masyarakat inikan pula zaman Satu Malaysia! Lagilah parah apabila Islam Hadhari telah terkubur kini Satu Malaysia yang lebih terbuka dengan apa jua cara asalkan perpaduan dicapai.

Oleh itu, seharusnya kita perlu lebih peka dengan isu hiburan yang tidak mengikut kehendak Islam seperti rancangan ini. Di manakah peranan mufti-mufti, ulama'-ulama' yang diberikan 'tauliah' untuk menegur stesyen tv dan para menteri yang menghalalkan rancangan-rancangan perosak masyarakat? Peranan NGO Islam dan parti politik diperlukan demi menghalang anasir-anasir Yahudi yang disuntik ke dalam umat Islam sekarang seluruh dunia. Selepas dibiarkan ianya berleluasa, barulah sibuk buat rancangan Forum Perdana Ehwal Islam, diskusi-diskusi yang dipelopori oleh pengampu menteri dan kerajaan yang diterhadkan hal yang boleh disentuh atas alasan menyentuh isu politik. Jadi siapa yang boleh menegur kerajaan?

Wajarkah dibiarkan rancangan-rancangan lain seperti Idola Kecil yang 'melentur rebung' untuk menjadi artis? Program-program realiti tv yang seperti bunting sebelum melahirkan artis, terus menanti zat nutrien melalui SMS undi dari penonton setia. Bakal artis ini terus bergantung pada undian peminat mereka sehingga artis baru lahir ke dunia artis hiburan. Kasihanilah generasi muda wahai kapitalis sekalian. Fikir tentang keuntungan sambil meruntuhkan nilai moral.

Berhibur tiada salahnya tetapi jika mahu berhibur ikutlah garis panduan hiburan yang sesuai dengan Islam yang telah diterbitkan oleh Majlis Fatwa. Walaupun ianya bukanlah garis panduan yang sempurna tetapi menghampiri kesempurnaan lebih baik daripada membiarkannya. Oleh itu, kita yang boleh berfikir secara matang, setiap apa jua program yang dianjurkan perlu mengambil kira kesan daripada program itu. Adakah memberi manfaat atau mudarat kepada masyarakat. Apakah membina moral atau meruntuhkan moral. Adakah mendekatkan masyarakat dengan agama atau menjauhkan lagi.

Setiap perbuatan sama ada baik atau buruk pasti ada akibatnya. Sama-sama renungkan.


Disediakan oleh elhazman
8 Muharram 1431H

Currently have 0 Komen: