23 December 2009

Penyucian Jiwa: Terjemahkan Taqwa & Hijrah Dalam Amalmu!

Posted by Emel: | 23 December 2009 | Category: |


Benarlah apa yang telah disabdakan Nabi s.a.w., "barangsiapa yang memecahbelahkan, maka ia bukan daripada kalangan kami. Rahmat Allah berada bersama-sama dengan jamaah, dan sesungguhnya serigala hanya memakan kambing yang menyendiri."

Menempuhi hidup tanpa jamaah mudah saja melunturkan iman di dada. Sukar juga untuk istiqamah melainkan orang-orang yang mempunyai keteguhan iman dan taqwa yang tinggi. Taqwa itu bukanlah bererti melakukan segala perintah Allah dan menjauhi laranganNya sahaja. Taqwa itu adalah cinta, kasih, sayang, rindu, takut dan berharap kepada Allah S.W.T. Taqwa adalah menjadikan Allah sebagai pelindung. Maka, barangsiapa yang telah menjadikan Allah sebagai tempat berlindung sudah pasti tiada apa yang mampu memberi ancaman kepadanya. Orang yang bertaqwa adalah mereka yang istiqamah mengerjakan yang ma'ruf dalam terang dan sunyi, menghindarkan diri dari mungkar di khalayak ramai mahupun bersendirian kerana yakin bahawa Allah sentiasa memerhatikan hamba-hambaNya dan dia tidak akan terlepas daripada perhitungan Allah.

Taqwa itulah yang amat didambakan untuk melahirkan pejuang Islam yang sebenar. Jamaah adalah institusi yang menguatkan hati dan semangat perjuangan orang Mukmin, Sementara, tika bersendirian itulah dapat dinilai keimanan yang telah dibina dan ada di dalam diri seorang pejuang.

Saya tidak membincangkan orang-orang yang menafikan atau menjauhkan diri daripada berjemaah. Tetapi, saya ingin mengajak kita bermuhasabah sejauh manakah nilai iman dan taqwa kita tika bersendirian. Adakah benar kita takut kepada Allah atau kita sekadar bermain wayang... Wal'iyazabillah.

Jambatan Hijrah

Saya ingin berpesan kepada diri saya sendiri dan sahabat-sahabat mahasiswa yang sedang bercuti serta yang telah bergraduat.

Kiranya iman di hati terasa goyah, maka bermuhasabahlah. Bina perancangan. Susunlah jadual kehidupan harianmu, berjanji dan berdisiplinlah pada diri... Itupun kamu tidak mampu melakukannya?

Kiranya iman di hati terasa semakin goyah, maka rapatkanlah diri dengan mereka yang takut kepada Allah. Carilah dan dampingilah mereka. Jika kamu tidak mampu mengubati hati sendiri dengan kalimah-kalimah kebenaran, maka biarlah mereka yang menyembuhkan luka hatimu. Mungkin mereka bukanlah sahabat kita tetapi kasihlah kepada mereka.

"Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat persis seperti berkawan dengan penjual minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api). Penjual minyak wangi sama ada dia memberimu sebahagian atau kamu membeli bau-bauan daripadanya atau sekurang-kurangnya kamu dapat juga mencium baunya. Manakala tukang besi pula samada ia menyebabkan bajumu terbakar atau kamu mendapat bau yang hapak." (HR Abu Daud)

Dekatilah alim ulama', dekatilah al-Quran, dekati rumah Allah, basahilah lidahmu dengan zikrullah. Itupun kamu tidak mampu melakukannya?

Maka, pintalah pertolongan daripada sahabatmu atau orang-orang yang rapat denganmu untuk membantumu agar menasihatimu. Namun, sekiranya dia telah menyusun untuk memperbaiki dirimu sedang kamu melekakannya maka sesungguhnya engkau adalah orang yang paling rugi!

Itupun tidak mampu kamu lakukan? Sahabatmu, alim ulama', jadual diri, al-Quran, zikrullah umpama jambatan untukmu berhijrah tetapi semuanya telah kau abaikan! Sahabatmu, alim ulama' dan orang-orang yang soleh... Merekalah jamaah. lalu engkau menjauhi mereka menyebabkan engkau terpinggir laksana kambing bersendirian yang akan dibaham oleh serigala!

Ketahuilah...

Bukan salah tiada yang menasihatimu bukan tiada tarbiyyah yang disusun dan bukan tiada kasih sayang dan rahmat daripada Tuhanmu. Sebenarnya, kamu TIDAK INGIN BERUBAH kerana kamu TIDAK PERNAH BERUSAHA untuk berubah ATAU KAMU BERMAIN-MAIN UNTUK BERUBAH (BERTAUBAT). Sementera, hatimu sentiasa menangisi dosa dan membuatkan jiwamu resah. Itulah tanda peringatan daripada Allah. Dia masih memberi peluang untukMu dengan memberi petunjuk bahawa hatimu sedang sakit ditimpa kifarah dosa. Tetapi, kamu masih tidak ingin berubah!

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka." (Surah ar-Ra'd: 11)

Di bawah ini lirik lagu yang sering aku dengar cuma tidak pernah aku hayati tiap bait-bait katanya. Baru sahaja aku hayatinya... Membuatkan hatiku tersentuh lalu memberikan inspirasi untukku menulis dan mengisi ruang di dalam blog ini. Bacalah, semoga nur Ilahi menerangi hatimu.


Wira Islam
6 Disember 2009
Bintulu, Sarawak.


Wahai Tuhan ku Yang Esa
Bila kenangkan Qahar-Mu
Rasa gerun di hatiku
Kerana takutkan seksa-Mu

Hamba-Mu rasa berputus asa
Siapakah dapat bersihkan diri
Dari segala dosa yang memburu
Setiap hari setiap ketika

Tika mengenang Ghafar-Mu
Putus asa tiada lagi
Semangatku pulih semula
Harapanku subur kembali

Ujian menimpa menekan di jiwa
Tak sanggup meneruskan perjuanganku
Mehnah-Mu itu penghapus dosaku
Mengganti hukuman-Mu di akhirat

Di waktu mengenang rahma-tMu
Terasa diri kurang bersyukur
Pada-Mu harusku memohon
Moga syukurku bertambah

Alangkah susahnya
Mendidik nafsuku
Yang tidak melihat kebenaran-Mu
Ya Alloh Tuhanku
Bantulah hamba-Mu
Dalam mendidik jiwaku ini


Harapan Pada-Mu Subur Kembali
Album : Memori The Zikr
Munsyid : Nazrey Johani

Currently have 0 Komen: