30 March 2010

Perlu Jaga Tepi Kain Orang

Posted by Emel: | 30 March 2010 | Category: |


“Jangan nak menyibuk hal orang la!!” “Jangan sibuk nak jaga tepi kain orang!” “Awak ni siapa nak halang saya?” “Saya tak ganggu hal awak dan saya tak nak awak campur hal saya!” “Jangan ganggu hal aku. Suka hati akulah apa aku nak buat. Kalau aku mati pun bukannya aku duduk satu kubur dengan kau”

Inilah antara ungkapan yang sering singgah di cuping telinga apabila kita cuba menghalang atau menegur seseorang yang melakukan kesalahan sama ada salah di sisi undang-undang Allah atau undang-undang ciptaan manusia. Inilah realiti yang berlaku apabila kejahilan, sifat sombong, mentaliti hiburan dan kedegilan telah menggari umat Islam.

Keadaan akan menjadi kian kronik sekiranya tanggungjawab menyuruh perkara yang baik dan mencegah perkara yang mungkar ditinggalkan kerana segala kemungkaran berlaku tanpa ada pencegahan. Sememangnya menjadi tanggungjawab setiap muslim untuk ‘menjaga tepi kain sendiri’ dan ‘menjaga tepi kain orang’ dalam konteks mencegah perkara mungkar disamping menyeru dan menyuruh ke arah perkara kebaikan.

“Dan hendaklah ada sebahagian di kalangan kamu yang menyeru ke arah kebaikan dan mengarah ke arah ma’ruf serta mencegah yang mungkar dan mereka inilah golongan yang beroleh kejayaan.” (Surah Ali Imran : 104)

“Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan di tengah-tengah masyarakat manusia untuk mengajak mereka ke arah yang ma’ruf dan mencegah mereka dari yang mungkar dan kamu beriman kepada Allah S.W.T.” (Surah Ali Imran : 110)

Sabda Rasulullah s.a.w : “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah mencegah dengan tangan, sekiranya tidak mampu hendaklah dengan lisan, sekiranya tidak mampu hendaklah dengan hati. Ini adalah selemah-lemah iman”.

Implikasi yang amat buruk bakal dihadapi seluruh umat manusia apabila gerak kerja ini diabaikan dan ditinggalkan. Paling ketara adalah retaknya hubungan dua hala antara Allah dan hambaNya. Lebih ketara apabila implikasi itu menular sehingga menghancurkan peradaban manusia. Tanpa amar ma’ruf dan nahi mungkar generasi manusia kehilangan pedoman, akhlak kian terhakis dan akidah akan terancam.

Sikap hanya ‘jaga tepi kain sendiri’ perlu dihapuskan serta merta dalam diri setiap umat Islam kerana sikap ini cukup berbahaya kerana ia akan memberi laluan yang cukup selesa kepada aktiviti kemungkaran tanpa ada sebarang pencegahan untuk menghalang berlakunya kemungkaran. Sebagai contoh, kita membina rumahtangga yang penuh dengan tarbiyah islamiyah dalam mendidik isteri dan anak-anak tetapi membiarkan serta tidak mempedulikan segala kemungkaran yang berlaku di sekitar kawasan tempat tinggal kita. Persoalannya, selama manakah kita akan mengurung isteri dan anak-anak di dalam rumah? Adakah anak-anak tidak punya rakan dan teman? Bagaimana pula dengan komunikasi keluarga kita dengan masyarakat?

“Kubur masing-masing, Jadi aku tak kacau korang buat apa la korang nak sibuk jaga tepi kain orang lain..Dosa aku, aku tanggung. Kubur masing-masing, kamu punya kubur kamu jaga, aku punya kubur aku jaga.”

Ungkapan itu salah! Jangan menegakkan benang yang lencun basah ditimpa hujan.

Kerana kubur masing-masinglah saudara seislam kita yang lain mengambil berat tentang diri kita kerana mereka melaksanakan kewajipan yang Allah tetapkan ke atas semua Umat Islam iaitu mesti menyampaikan nasihat/dakwah dalam apa pun keadaan dan bentuk.

Kerana kubur masing-masing jugalah mereka menasihatkan kita supaya Islam itu tidak dipandang hina oleh orang lain.

Kerana kubur masing-masinglah mereka menegur kesalahan kita tadi kerana mereka yakin tentang gambaran pada Hari Pembalasan. Ketika semua manusia akan dihitung amalannya dan dipersoal apa yang telah dilakukan ketika hayatnya di dunia.

Waktu itu kita akan saling tuding menuding ke arah orang lain semata-mata takut dicampakkan ke dalam Neraka . Jadi daripada mereka akan dipersalah nanti , sepatutnyalah mereka menegur dan memberi peringatan agar tudingan itu nanti tidak terbeban keatas mereka kerana mereka telah menjalankan kewajipan tersebut.

Ingatlah dan jangan lupa , memang kubur masing-masing tetapi mengajak manusia ke jalan kebaikan adalah ajaran Islam. Ilmu Allah tidak terpilih-pilih dan semua makhluk beragama Islam harus patuh pada seruan agamaNya.

Di dalam al-Quran Surat Al-Anfaal Ayat 25 mengatakan:

“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.”

Sewajibnya kita setiap umat Islam mesti bertanggungjawab untuk melaksanakan hal ini bagi memastikan keharmonian dan keamanan dalam kehidupan seterusnya mengelakkan kita dilaknat oleh Allah sebagaimana Allah telah melaknat Bani Israel akibat keengganan mencegah kemungkaran.


Diolah semula daripada sumber:
http://zulikhwanzahari.blogspot.com/2009/07/perlu-jaga-tepi-kain-orang.html
http://www.kujie2.com/motivasi/buat-apa-kau-sibuk-kubur-masing-masing.html

Currently have 0 Komen: