Showing posts with label tazkirah. Show all posts
Showing posts with label tazkirah. Show all posts

27 May 2010

Normalisasi Muqaddimah Zina

Posted by Emel: | 27 May 2010 | Category: , | 0 Komen


“Susah, ustaz. Macam mana nak solat dalam kapal terbang kalau pakaian kotor” kata seorang anak muda.

“Nak berangkat ke UK pun pakai baju kotor? Tak sempat basuh ke?” tanya si ustaz.

“Bukan macam itu. Pakaian yang dipakai sudah tentu bersih. Tetapi semasa ke tandas di KLIA, di situlah pakaian jadi kotor” jelas beliau.

“Mengapa? Ustaz ke tandas tiada masalah pun” si ustaz ‘pura-pura tidak tahu’.

“Ustaz lainlah” ujar anak muda itu lagi.

“Apa pula lainnya. Awak lelaki, ustaz lelaki. Masuk pun ke tandas yang sama. Cuma, awak kencing berdiri ya?” si ustaz bertanya terus ke topik sebenar.

Anak muda itu ketawa kecil. Apa yang beliau tidak mahu menyebut, telah disebut oleh sang ustaz.

Memang sukar.

Jika bersolat di dalam pesawat terganggu oleh kesukaran menentukan arah kiblat, ada penyelesaiannya. Andaikata bermasalah untuk berdiri, ada penyelesaiannya. Jika sulit mahu mengambil wudhu’, ada kaedah-kaedahnya. Tetapi jika pakaian tidak bersih, memang susah mahu diselesaikan. Bayangkan, dalam kesesakan ratusan penumpang kapal terbang, si anak muda mahu menyalin seluar dengan memakai kain pelekat, mahu sahaja disikunya orang di kiri dan kanan.

Justeru, jika kita jenis orang yang bersolat kerana Islam, maka Islamlah semenjak di rumah dan di Lapangan Terbang. Jangan tiba-tiba mahu mengambil Islam, memang banyak ‘kerosakan’ yang terpaksa diuruskan!

Sama juga dengan perempuan. Andaikata solat itu hendak dikerjakan semasa berada di dalam pesawat, selain pakaian perlu bersih, pastikan juga ia sempurna menutup aurat. Andai pakaian yang dipakai itu tidak cukup syarat untuk membolehkan kita bersolat dengannya, memang sukar kalau tiba-tiba di dalam pesawat, mahu disarung telekung. Mahu terserkup orang di sebelah!

Demikianlah Islam.

PAKEJ

Di pangkal, di tengah atau di hujung, Islam ada caranya yang tersendiri untuk berfungsi. Tetapi sebagai sebuah sistem, Islam mesti diambil seawal langkah yang pertama.

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) SEGALA hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan. Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata” [al-Baqarah 2: 208]

Demikian Allah berpesan.

Apabila Islam diambil, ambillah ia secara sempurna. Pakej yang lengkap. Menerima sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain, adalah cara Syaitan menyesatkan manusia, sedangkan Syaitan itu adalah musuh manusia yang amat nyata. Kelihatannya di sepanjang sejarah manusia, Syaitan itu makhluk yang sabarnya sering mengatasi manusia. Syaitan tidak tergesa-gesa untuk mencapai misinya. Segalanya berlaku secara berperingkat, sedikit demi sedikit, dalam kealpaan manusia yang tidak menyedarinya.

Itulah enjin di sebalik musibah buang bayi di negara kita.

Buang bayi kerana berleluasanya zina.

Berleluasanya zina kerana pencegahannya tidak mengambil acuan Islam.

“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya ia adalah suatu kecelaan dan seburuk-buruk jalan pilihan manusia” [al-Israa' 17: 32]

Allah tahu, zina itu sedap dan nikmat. Menolaknya jika sekadar menolaknya, terlalu sukar. Justeru sama seperti maksiat-maksiat yang lain, Allah bantu kita untuk mengelaknya dengan menutup pintu-pintu kepada zina. Sesungguhnya menolak zina hanya menjadi realiti apabila MUQADDIMAH ZINA dilihat sebagai muqaddimah zina yang mesti dihindari.

Apakah muqaddimah zina yang mesti dicegah itu?

1. MENUNDUKKAN PANDANGAN

Tingkap itu yang mesti dipelihara. Jendela penglihatan yang turun ke hati dan kemaluan. Menundukkan pandangan itu bermaksud memelihara penglihatan daripada melihat perkara haram. Perkara yang merangsang libido dan mengundang diri kepada zina. Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan.” [al-Nur 24: 30]

Wanita-wanita yang beriman itu juga diberikan saranan yang sama. Di dalam ayat yang menyusul perintah di atas, Allah memerintahkan kaum wanita seperti kaum lelaki, sama-sama memelihara pandangan daripada melihat apa yang tidak diharuskan baginya melihat.

“Alahai, takkanlah baru tengok sudah mahu berzina!” seorang manusia mahu berbijak-bijak berhujah dengan Tuhan.

Dia lupa, fitnah penglihatan dan zina bukan urusan rasional. Ia urusan nafsu dan kemaluan. Urusan hati yang membuat pertimbangan. Justeru itu Allah berpesan, “yang demikian itu lebih suci bagi mereka”. Muqaddimah zina ini bukan hanya urusan di peringkat individu. Ia bertujuan membentuk suasana yang sihat. Saling bekerjasama untuk mewujudkan suasana yang tidak mengundang zina.

2. MEMELIHARA AURAT

Menundukkan pandangan daripada perkara haram menjadi lebih mudah apabila perkara haram itu tercegah dalam daerah halalnya. Anggota tubuh yang perlu diberi perlindungan, adalah cara seseorang memuliakan dirinya sendiri dan menghormati orang lain yang bermata lagi berhati, juga bernafsu.

Peliharalah aurat.

Wanita.

Lelaki.

Sama sahaja.

“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka…” [al-Nur 24: 31]

Perintahnya bukan perintah menutup rambut.

Perintahnya adalah perintah memelihara aurat.

3. TIDAK BERTABARRUJ JAHILIAH

Menutup aurat itu cara Allah mengajar kita membentuk diri. Biar dengan menutup aurat itu kita belajar menganut sifat malu, belajar mengenal batas-batas diri yang mewujudkan rasa berTuhan dalam kehidupan dengan batasan-batasan itu.

“Dan hendaklah kamu melazimkan diri berada di rumah kamu serta janganlah kamu mendedah, menghias dan menonjolkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu” [Al-Ahzaab 33: 33]

“Saya sudah menutup aurat!” kata seorang perempuan yang bertudung.

Beliau terlepas pandang, tudungnya memang bertudung tetapi solekan di bibir dan kelopak matanya sangat keterlaluan, di dalam tudungnya ada bonggol sanggul meninggikan kepala, kakinya memakai loceng, hingga setiap inci tubuhnya menarik perhatian untuk dilihat dan direnung, biar pun beliau itu bertudung.

Justeru hilanglah hikmah memelihara aurat.

Biar pun rambut ditutup, dia masih kaya dengan elemen Jazb al-Intibah (menarik perhatian dan pandangan orang).

4. BERURUSAN DENGAN BATASAN

Bekerja, belajar, bermesyuarat, berjiran dan bermasyarakat, semuanya harus.

Namun keharusan itu harus dipandu oleh batasan.

Silang jantina perlu mengenal keperluan dan tujuan, jangan hanya berpandukan kemahuan.

“Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta daripada mereka maka mintalah kepada mereka dengan perantaraan hijab. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka” [al-Ahzaab 33: 53]

Sama ada hijab itu berupa tabir yang fizikal, atau sekurang-kurangnya mengekalkan batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Bermesyuaratlah, tetapi biar seadanya.

“Hai, takkanlah sembang-sembang sudah terangsang?” hujah seorang bijak pandai di syarikat Multinasional.

“Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka” jawab Allah.

Dia yang memiliki hati. Dia tahu sifat baik dan buruk hatimu. Justeru nasihat-Nya tentang hati itulah nasihat terbaik untuk manusia yang mahu berhati-hati.

Lihatlah di pejabat, siapa di meja sebelah, siapa di kubikel depan, keluar makan tengah hari dengan siapa, dari Stesyen LRT ke pejabat tumpang kereta siapa, pergi ke site atau bertemu pelanggan naik kereta siapa, semua itulah yang perlu dipertimbangkan kembali, kerana melakukannya tanpa batasan adalah MUQADDIMAH ZINA.

5. TIDAK MELUNAKKAN SUARA

Dengar suara, mahu orangnya.

Itu akibat manusia-manusia yang hatinya berpenyakit.

Sakitnya pula letak di hati yang tidak kelihatan. Justeru jangan cari penyakit. Jangan lunakkan suara semasa berbicara. Bersahaja, sederhana, seperti biasa, jangan dimanja-manja, jangan mengada-ngada.

“Andaikata kamu benar-benar beriman, maka janganlah kamu lunak-lunakkan suara semasa berbicara. Nantinya orang-orang yang hatinya berpenyakit menjadi tamak. Justeru berbicaralah dengan perbicaraan yang maaruf” [al-Ahzaab 33: 32]

NORMALISASI MUQADDIMAH ZINA

Mencegah lebih baik daripada mengubat… bukan slogan tanpa asas!

Cabarannya, bagaimanakah penerimaan kita terhadap saranan-saranan Allah ini?

Percaya bahawa kita lebih bijak daripada-Nya?

Semua perintah dan larangan yang dihimpunkan itu tadi (sebagai memetik sebahagiannya) telah mengalami normalisasi. Semuanya sudah diterima sebagai satu cara hidup semasa.

“Make sure you balik before Midnite, ok. This is my house. You follow my rule!” kata si ayah yang ‘cool’.

Anak lelakinya keluar menonton wayang dengan rakan silang jantina.

Muqaddimah zina sudah jadi biasa.

“Alaa, she’s still young. Let her taste the excitement. Just be herself. Jangan hipokrit. Nanti bila nak pakai tudung tu, dia pakailah. Kita doakan!” kata si emak melihat anak perempuannya keluar rumah dengan penuh gaya.

Memaksa diri bertudung kerana di dunia ini ada Tuhan, namanya hipokrit?

Akhirnya, menutup Muqaddimah Zina dianggap kolot.

Walhal itulah hidup bertamadun. Hidup yang tahu membataskan diri.

Bergaul sesuka hati, menyentuh sesedap rasa, menunggang tak kenal agama, itu Lifestyle rimba.

“Nampakkah kamu keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.” [al-Furqan 25: 43-44]

Saksikanlah ya Allah bahawa aku berusaha menyampaikan!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

30 March 2010

Perlu Jaga Tepi Kain Orang

Posted by Emel: | 30 March 2010 | Category: | 0 Komen


“Jangan nak menyibuk hal orang la!!” “Jangan sibuk nak jaga tepi kain orang!” “Awak ni siapa nak halang saya?” “Saya tak ganggu hal awak dan saya tak nak awak campur hal saya!” “Jangan ganggu hal aku. Suka hati akulah apa aku nak buat. Kalau aku mati pun bukannya aku duduk satu kubur dengan kau”

Inilah antara ungkapan yang sering singgah di cuping telinga apabila kita cuba menghalang atau menegur seseorang yang melakukan kesalahan sama ada salah di sisi undang-undang Allah atau undang-undang ciptaan manusia. Inilah realiti yang berlaku apabila kejahilan, sifat sombong, mentaliti hiburan dan kedegilan telah menggari umat Islam.

Keadaan akan menjadi kian kronik sekiranya tanggungjawab menyuruh perkara yang baik dan mencegah perkara yang mungkar ditinggalkan kerana segala kemungkaran berlaku tanpa ada pencegahan. Sememangnya menjadi tanggungjawab setiap muslim untuk ‘menjaga tepi kain sendiri’ dan ‘menjaga tepi kain orang’ dalam konteks mencegah perkara mungkar disamping menyeru dan menyuruh ke arah perkara kebaikan.

“Dan hendaklah ada sebahagian di kalangan kamu yang menyeru ke arah kebaikan dan mengarah ke arah ma’ruf serta mencegah yang mungkar dan mereka inilah golongan yang beroleh kejayaan.” (Surah Ali Imran : 104)

“Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan di tengah-tengah masyarakat manusia untuk mengajak mereka ke arah yang ma’ruf dan mencegah mereka dari yang mungkar dan kamu beriman kepada Allah S.W.T.” (Surah Ali Imran : 110)

Sabda Rasulullah s.a.w : “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah mencegah dengan tangan, sekiranya tidak mampu hendaklah dengan lisan, sekiranya tidak mampu hendaklah dengan hati. Ini adalah selemah-lemah iman”.

Implikasi yang amat buruk bakal dihadapi seluruh umat manusia apabila gerak kerja ini diabaikan dan ditinggalkan. Paling ketara adalah retaknya hubungan dua hala antara Allah dan hambaNya. Lebih ketara apabila implikasi itu menular sehingga menghancurkan peradaban manusia. Tanpa amar ma’ruf dan nahi mungkar generasi manusia kehilangan pedoman, akhlak kian terhakis dan akidah akan terancam.

Sikap hanya ‘jaga tepi kain sendiri’ perlu dihapuskan serta merta dalam diri setiap umat Islam kerana sikap ini cukup berbahaya kerana ia akan memberi laluan yang cukup selesa kepada aktiviti kemungkaran tanpa ada sebarang pencegahan untuk menghalang berlakunya kemungkaran. Sebagai contoh, kita membina rumahtangga yang penuh dengan tarbiyah islamiyah dalam mendidik isteri dan anak-anak tetapi membiarkan serta tidak mempedulikan segala kemungkaran yang berlaku di sekitar kawasan tempat tinggal kita. Persoalannya, selama manakah kita akan mengurung isteri dan anak-anak di dalam rumah? Adakah anak-anak tidak punya rakan dan teman? Bagaimana pula dengan komunikasi keluarga kita dengan masyarakat?

“Kubur masing-masing, Jadi aku tak kacau korang buat apa la korang nak sibuk jaga tepi kain orang lain..Dosa aku, aku tanggung. Kubur masing-masing, kamu punya kubur kamu jaga, aku punya kubur aku jaga.”

Ungkapan itu salah! Jangan menegakkan benang yang lencun basah ditimpa hujan.

Kerana kubur masing-masinglah saudara seislam kita yang lain mengambil berat tentang diri kita kerana mereka melaksanakan kewajipan yang Allah tetapkan ke atas semua Umat Islam iaitu mesti menyampaikan nasihat/dakwah dalam apa pun keadaan dan bentuk.

Kerana kubur masing-masing jugalah mereka menasihatkan kita supaya Islam itu tidak dipandang hina oleh orang lain.

Kerana kubur masing-masinglah mereka menegur kesalahan kita tadi kerana mereka yakin tentang gambaran pada Hari Pembalasan. Ketika semua manusia akan dihitung amalannya dan dipersoal apa yang telah dilakukan ketika hayatnya di dunia.

Waktu itu kita akan saling tuding menuding ke arah orang lain semata-mata takut dicampakkan ke dalam Neraka . Jadi daripada mereka akan dipersalah nanti , sepatutnyalah mereka menegur dan memberi peringatan agar tudingan itu nanti tidak terbeban keatas mereka kerana mereka telah menjalankan kewajipan tersebut.

Ingatlah dan jangan lupa , memang kubur masing-masing tetapi mengajak manusia ke jalan kebaikan adalah ajaran Islam. Ilmu Allah tidak terpilih-pilih dan semua makhluk beragama Islam harus patuh pada seruan agamaNya.

Di dalam al-Quran Surat Al-Anfaal Ayat 25 mengatakan:

“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.”

Sewajibnya kita setiap umat Islam mesti bertanggungjawab untuk melaksanakan hal ini bagi memastikan keharmonian dan keamanan dalam kehidupan seterusnya mengelakkan kita dilaknat oleh Allah sebagaimana Allah telah melaknat Bani Israel akibat keengganan mencegah kemungkaran.


Diolah semula daripada sumber:
http://zulikhwanzahari.blogspot.com/2009/07/perlu-jaga-tepi-kain-orang.html
http://www.kujie2.com/motivasi/buat-apa-kau-sibuk-kubur-masing-masing.html

29 March 2010

Fiqh Awlawiyyat (Tingkatan Keutamaan) Dalam Islam

Posted by Emel: | 29 March 2010 | Category: | 0 Komen


Berdasarkan kitab "Fiqh Al-Aulawiyyat" karangan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat Rasul junjungan ahli keluarga baginda, para sahabatnya dan pengikut dan pendokong kebenaran Islam hingga ke hari qiamat.

Penulisan ringkas ini menjadikan persoalan berikut sebagai tumpuan:-
  1. Kewujudan tingkatan keutamaan dalam amalan menurut Islam.
  2. Persoalan pertembungan kepentingan kebaikan (maslahat) dalam sesuatu masa & kaedah penyelesaian.
  3. Persoalan pertembungan maslahat dan mafsadah dan kaedah penyelesaian Islam.
  4. Beberapa prinsip Islam dalam hal awlawiyyat (priority).
KEWUJUDAN TINGKATAN KEUTAMAAN DALAM AMALAN MENURUT ISLAM
Justify Full
Antara dalil-dalil yang menjelaskan konsep ini adalah seperti berikut :

1) Al-Quran
  • Firman Allah SWT yang bermaksud : “Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah..” ( Ayat At-Tawbat : 19)
  • Al-Hujurat : 13
  • Az-Zumar : 9
  • An-Nisa : 95-96
  • Faatir : 32
2) As-Sunnah
  • Sabda Nabi SAW : Ertinya : “Iman itu mempunyai 70 lebih cabang, yang terunggul adalah kalimah “Tiada Tuhan melainkan Allah” , dan tahap yang paling rendah adalah membuang gangguan dari jalan raya.” ( Al-Bukhari, Muslim , at-Tirmidzi )
  • Sabda Nabi SAW : Ertinya : “Amalan yang paling disukai oleh Allah adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit”
  • Sabda Nabi SAW : Ertinya : “Solat berjemaah adalah lebih utama dari solat bersendirian 27 kali ganda keutamaan” ( Bukhari dan Muslim )
  • Sabda Nabi SAW : Ertinya : “Sesungguhnya kedudukan seseorang dari kamu yang berjuang pada jalan Allah adalah lebih utama dari solat (sunat) seseorang kamu di rumahnya selama 70 tahun” (At-Tirmidzi, hadith hasan menurut Tirmidzi dan Shohih menurut al-Hakim & dipersetujui oleh az-Zahabi)
BEBERAPA PERKARA ASAS BERKAITAN MASLAHAT

Sebelum kita memasuki topik ini, menjadi kewajipan bagi kita untuk mengetahui pembahagian ‘maslahat’ menurut para ulama Islam serta bagaimana kaedah mengenalpastinya. Berikut adalah penerangannya secara ringkas :-

1) Maslahat dan Pembahagiannya.

Sebagaimana yang telah diadun dengan teliti oleh para ulama usul fiqh Islam, maka hasilnya mereka membahagikan maslahat seperti berikut :

Ad-Dharuriyyat: Keperluan utama manusia, tanpanya tergugat kehidupan dan membawa kehancuran.

Setelah dilakukan penelitian penuh (al-Istiqra’) terhadap nusus al-Quran dan Hadith, maka cendikiawan Islam telah menyusunnya menurut tingkatan keutamaan seperti berikut :-
  • Keperluan Agama : Kewajiban menyebar dan menjaganya dari ancaman musuh.
  • Keperluan Nyawa : Kewajiban menjaganya dari segala jenis ancaman.
  • Keperluan Aqal : Kewajiban menggunakannya bagi mengenal Allah dan menjaganya dari rosak.
  • Keperluan Keturunan & Marua: Kewajiban bagi memastikannya aman dari segala percampuran keturunan dan segala yang boleh mencarik maruah.
  • Keperluan Harta : Kewajiban memanfaatkannya di sumber yang terpuji dan menjaganya dari ancaman.
Al-Haajiyyat: Sesuatu perkara yang manusia boleh hidup tanpanya tetapi dalam keadaan yang amat sukar.

At-Tahsiniyyat: Perkara-perkara sampingan bagi manusia serta sebagai pelengkap dan hiasan.

2) Kaedah mengenalpasti maslahat.

Pertamanya, maslahat yang ingin dikenalpasti datang dalam dua bentuk, iaitu :-

Maslahat duniawi @ kebaikan dunia: Boleh dikenalpasti menggunakan aqal yang shohih, pengalaman dan adat. Demikian pandangan sebahagian besar ulama Usul Fiqh Islam , antara mereka adalah Imam Malik B. Anas ( 179 H), Imam Al-Juwayni As-Syafie ( 478 H), Imam As-Sarakhasi Al-Hanafi ( 490 H) , Imam Abu Hamid Al-Ghazali ( 505 H), Imam Izuddin B Abd Salam ( 660 H) & Imam Ibn Taymiah Al-Hanbali ( 728 H).

Maslahat ukhrawi @ kebaikan akhirat: Tidak boleh ditentukan dan dipastikan kecuali melalui nas al-quran atau hadith.

Para ulama telah pun meletakkan pelbagai kaedah bagi mengenalpasti maslahat ukhrawi dan duniawi, antaranya seperti berikut :-
  • Memerhati dan meneliti nusus al-quran dan hadith yang jelas maksudnya.
  • Mengenalpasti maslahat dan kehendak Syara’ ( Maqasid as-Syari’) melalui dalil-dalil perintah dan larangan.
  • Penelitian terhadap ‘illah hukum dan seterusnya menentukan Maqasid as-Syara’ darinya.
  • Kajian menyeluruh (istiqra) terhadap hukum-hukum yang telah sedia ada dan dalil-dalil hukum syara, dan seterusnya menentukan maqasid syara’ darinya.
  • Mengambil kefahaman para sahabat hasil pemahaman mereka terhadap dalil-dalil.
  • Menggunakan aqal hasil percubaan, pengalaman dan adat yang sihat.
PERSOALAN PERTEMBUNGAN KEPENTINGAN POSIITIF (MASLAHAT) DALAM SESUATU MASA DAN KAEDAH PENYELESAIAN.

Kaedah Penyelesaian pertembungan dua maslahat (kepentingan).

Dalam hal ini, kita dikehendaki menggunakan segala kepakaran ilmu dan pengalaman bagi mengukur dan menimbang kekuatan sesuatu maslahat di antara satu sama lain.

Secara ringkas, kaedah berikut boleh diguna pakai setelah penentuan sifat maslahat dibuat:-
  • Maslahat akhirat di utamakan dari maslahat dunia.
  • Maslahat yang dinikmati oleh ramai diutamakan dari maslahat yang hanya dinikmati oleh seorang atau kumpulan yang lebih kecil.
  • Maslahat yang yakin boleh dicapai diutamakan dari maslahat yang kurang yakin.
  • Maslahat yang lebih besar kesannya diutamakan dari yang kecil kesannya.
  • Maslahat yang boleh berkekalan diutamakan dari maslahat yang terputus dan cepat hilangnya.
  • Maslahat yang berkaitan perkara pokok dan asas diutamakan dari maslahat berbentuk ‘syakliah’ (bentuk dan rupa).
  • Maslahat masa depan yang diyakini diutamakan dari maslahat semasa yang lemah.
Antara dalil pertimbangan antara maslahat seperti di atas adalah perjanjian hudabybiah dan dimeteri oleh rasul SAW, yang mana umumnya dilihat kerugian di pihak Islam, tetapi hakikatnya maslahat yang lebih besar di nikmati oleh pihak Islam kerana genjatan senjata selama 10 tahun hasil dari perjanjian itu, umat Islam berupaya menyebarluaskan dakwah Islam sehingga mendapat kekuatan yang nyata selepas perjanjian.

KAEDAH PENYELESAIAN PERTEMBUNGAN DUA MAFSADAH(KEBURUKAN)

Sekali lagi, ilmu, pengalaman dan kepakaran yang didasari al-quran dan sunnah diperlukan bagi menentukan tahap keseriusan sesuatu keburukan yang mungkin timbul daripada sesuatu tindakan. Ini kerana, sebagaimana kebaikan yang berbeza-beza tingkat kekuatannya, demikian juga keburukan yang berbeza kesan seriusnya.

Maka setelah penentuan tahap keseriusan mafsadah dibuat, kaedah fiqhiyyah berikut boleh digunakan pakai apabila berlaku pertembungan dalam dua jenis mafsadah/mudarat :-

1- Ertinya : Menolak mudarat / mafsadah ditolak sedaya upaya yang ada. ; ini bermakna kita dituntut untuk menolaknya dan meminimakan penggunaannya selagi ada ruang

2- Ertinya : Mudarat tidak boleh diatasi dengan menggunakan mudarat sejenisnya.

3- Ertinya : Tidak harus memulakan mudarat, dan tidak harus membalas sesuatu kemudaratan dengan kemudaratan yang lain.

4- Ertinya : Menempuh kemudaratan yang lebih ringan apabila terdapat dua kemudaratan yang perlu ditempuh.

5- Ertinya : Menanggung mudarat yang bersifat khas, adalah perlu apabila dengannya dapat menolak mudarat yang terkena pada umum.

KAEDAH PENYELESAIAN PERTEMBUNGAN MASLAHAT DAN MAFSADAH

Islam menggariskan beberapa kaedah dalam menyelesaikan pertembungan ini seperti berikut :-

Ertinya : Menolak keburukan / mudarat diutamakan dari memperolehi maslahat ; Iaitu apabila kedua-duanya sama berat. Tetapi kiranya salah satu berat , maka perlu mengikut kaedah lain di bawah.

Ertinya : Kemudaratan yang kecil tidak diambil kira dalam usaha meraih kemaslahatn yang besar.

Ertinya : Tidak diambil kira keburukan yang terputus-putus , dalam usaha meraih kemaslahatn yang kekal dan berterusan.

Ertinya : Tidak harus meninggalkan maslahat yang pasti kerana takutkan kemudaratan yang tidak pasti dan menurut andaian yang lemah.

BEBERAPA PRINSIP ISLAM DALAM TINGKATAN KEUTAMAAN MENURUT AL-QURAN DAN AS-SUNNAH

Antara Asas Utama : Keutamaan Kualiti Dari Kuantiti

1) Celaan Allah terhadap kumpulan kuantiti jahil.
al-Ankabut:63 ; al-‘Araf: 187 ; al-Baqarah : 243 ; al-An’am : 116

2) Pujian Allah & Rasul terhadap kualiti walaupun kurang kuantiti :
Shod : 24 ; Anfal:26 ; Hud : 116

Sabda Nabi SAW yang bermaksud :- Manusia yang ramai seumpama unta-unta yang banyak, hampir-hampir tidak dapat diperolehi dari kalangannya yang sesuai untuk dibawa bermusafir ( kerana tiada kualiti).

3) Nisbah ukuran kekuatan seorang mukmin berbanding musuh, ia yang dijelaskan oleh Allah SWT :-

a- Nisbah Dalam keadaan kuat :-
Ertinya : Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti. (Anfaal : 65 )

b. Nisbah Dalam keadaan lemah :-
Ertinya : Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Ia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah. Dan (ingatlah) Allah beserta orang-orang yang sabar. ( Anfaal : 66)

KEFAHAMAN KEUTAMAAN DALAM BIDANG PEMIKIRAN

1) Keutamaan Ilmu dari ‘amal

Dalil :

Firman Allah SWT Ertinya : “Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) dan KETAHUILAH bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat).” ( Muhammad : 19)

Sabda Nabi SAW Ertinya : “Barangsiapa yang Allah SWT inginkan kebaikan bagi seseorang maka Allah akan memahamkan ia dalam bidang agamanya.”

Khalifah Umar bin Abd Aziz berkata Ertinya : Sesiapa yang beramal tanpa ilmu, maka kerosakan lebih banyak dihasilkan daripada kebaikan.

Para Ulama berkata : Menjadi pejuang Rabbani sebagaimana yang terdapat di dalam firman Allah dalam Al-Imran : 79 , adalah mereka yang mengajar manusia dengan mendahulukan ajaran isu-isu furu’ yang mudah sebelum memasuki bab usul yang sukar.

2) Keutamaan Faham dari hafalan

Dalil

Ertinya : “..oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari & memahami secara mendalam ilmu agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).” ( At-Tawbat : 122)


3) Keutamaan Fahami Maqasid Dari Berpegang Kepada Zahir Nas Semata-mata

Dalil:

Ertinya : Ya tuhan kami, sesungguhnya engkau tidak jadikan penciptaan ini dengan sia-sia (tanpa tujuan dan hikmah)..( Al-A;raf : 54 )

Berkata Dr Yusoff al-Qaradawi dalam komentarnya terhadap ayat di atas berkata : “ lalu kami mengatakan juga ; Wahai tuhan kami sesungguhnya tidaklah kamu menysyariatkan sesuatu hukum kecuali bersamanya hikmah”

4) Keutamaan Ijtihad Dari Hanya Bertaqlid.

Dalil :

Ertinya : “Dan janganlah kamu berpegang dengan sesuatu perkara yang kamu tidak punyai ilmu (dengan keyakinan ilmu) dengannya” ( al-Isra’ : 36 )

Sumber: MTKN GAMIS

21 March 2010

Tanda-tanda Hari Kiamat Semakin Hampir

Posted by Emel: | 21 March 2010 | Category: | 0 Komen


Penaklukan Baitulmuqaddis
Dari Auf b. Malik r.a., katanya, "Rasulullah s. a. w. telah bersabda: "Aku menghitung enam perkara menjelang hari kiamat. "Baginda menyebutkan salah satu di antaranya, iaitu penaklukan Baitulmuqaddis. " Sahih Bukhari

Zina bermaharajalela
"Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang." - Sahih Muslim

Bermaharajalela alat muzik
"Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan dan perubahan muka. "Ada yang bertanya kepada Rasulullah; "Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?" Baginda menjawab; "Apabila telah bermaharajalela bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi-penyanyi wanita" - Ibnu Majah

Menghias masjid dan membanggakannya.
"Di antara tanda-tanda telah dekatnya kiamat ialah manusia bermegah-megahan dalam mendirikan masjid" - Riwayat Nasai.

Munculnya kekejian, memutuskan kerabat dan hubungan dengan tetangga tidak baik
"Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan sikap yang buruk dalam tetangga." - Riwayat Ahmad dan Hakim

Ramai orang soleh meninggal dunia.
"Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang-orang yang baik dan ahli agama di muka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang-orang yang hina dan buruk yang tidak mengetahui yang ma'ruf dan tidak mengingkari kemungkaran - Riwayat Ahmad

Orang hina mendapat kedudukan terhormat.
"Di antara tanda-tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka' bin Luka'(orang yang bodoh dan hina). Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh dua orang mulia" -Riwayat Thabrani

Mengucapkan salam kepada orang yang dikenalinya sahaja.
"Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalinya saja." - Riwayat Ahmad

Banyak wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. "Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang."

Bulan sabit kelihatan besar.
"Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah menggelembung (membesarnya) bulan sabit." - Riwayat Thabrani

Banyak dusta dan tidak tepat dalam menyampaikan berita.
"Pada akhir zaman akan muncul pembohong-pembohong besar yang datang kepadamu dengan membawa berita-berita yang belum pernah kamu dengar dan belum pernah didengar oleh bapa-bapa kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu dan memfitnahmu" - Sahih Muslim

Banyak saksi palsu dan menyimpan kesaksian yang benar.
"Sesungguhnya sebelum datangnya hari kiamat akan banyak kesaksian palsu dan disembunyikan kesaksian yang benar" - Riwayat Ahmad

Negara Arab menjadi padang rumput dan sungai.
"Tidak akan datang hari kiamat sehingga negeri Arab kembali menjadi padang rumput dan sungai-sungai. " - Sahih Muslim"

07 February 2010

14 Februari : Hari Apakah Itu Bagi Seorang Muslim?

Posted by Emel: | 07 February 2010 | Category: | 0 Komen


Perayaan adalah sesuatu yang mengiringi fitrah kehidupan manusia. Ia adalah hari manusia memecahkan rutin kehidupan dengan melakukan sesuatu yang dikhususkan pada hari berkenaan dengan tujuan yang pelbagai. Kerana itulah, setiap bangsa manusia mempunyai perayaan mereka yang tersendiri. Ia disambut dengan pelbagai cara, dengan sebab, “sempena” dan matlamat yang berbeza-beza.

Islam sebagai cara hidup fitrah yang telah Allah sempurnakan ciri-ciri dan kemampuannya, turut menggariskan perayaan bagi umatnya. Sebagai umat Islam, perayaan turut menjadi salah satu cabang hidup yang mesti kita tempuhi mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Hadith Abu Daud yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A secara jelas menegaskan bahawa Allah SWT telah memperuntukkan bagi umat Islam dua perayaan bagi menggantikan segala bentuk keraian yang diwarisi dari zaman jahiliah dan sumber yang tidak Islam. Dua perayaan berkenaan adalah Aidilfitri dan Aidiladha. Inilah dua hari yang bukan sahaja menjadi hari perayaan, bahkan Allah SWT menuntut kita agar tidak alpa dari me”raya”kannya. Puasa yang menjadi ibadah yang dipuji Allah, diharamkan pada dua hari berkenaan supaya umat Islam menyambutnya dengan sempurna dan tidak berlebih-lebihan di dalam ibadah sehingga ia “disangka taqwa”. Akan tetapi, dengan pertemuan Islam bersama bangsa lain, dan nilai iman yang corot, umat Islam mula meniru amalan yang tiada kena mengena dengan agamanya. Apatah lagi di dalam keadaan mereka yang bermastautin di negara bukan Muslim.

Di suatu ketika, seorang sahabat Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang dahulunya seorang Nasrani, iaitu ‘Adi bin Hatim radhiyallaahu ‘anhu, bertanya kepada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

Siapakah yang dimaksudkan dengan al-maghdhoob ‘alayhim (golongan yang dimurkai Allah) seperti yang tersebut di dalam surah al-Fatihah? Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menjawab, “mereka itu adalah Yahudi”. Adi bertanya lagi: siapakah pula yang dimaksudkan sebagai al-dhaalloon (golongan yang sesat) itu? Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menjawab, “mereka itu adalah Nasrani”. Hadith ini diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan Ahmad serta dinilaikan sebagai sahih.

Biar pun pada aqidah kepercayaan kaum Yahudi itu ada sesatnya, namun mereka lebih menonjol sebagai golongan yang banyak menimbulkan kerosakan yang mengundang murka Allah. Begitu juga dengan kaum Nasrani, walaupun terdapat juga perlakuan mereka yang merosakkan dan mencetuskan murka Allah, namun mereka lebih menonjol sebagai kaum yang mendatangkan kepercayaan yang sesat dan mengelirukan. Justeru Yahudi disimbolkan sebagai KAUM YANG DIMURKAI-NYA, manakala kaum Nasrani pula dilabelkan sebagai KAUM YANG SESAT.

Setiap hari, seorang Muslim bersolat dan membaca Surah al-Fatihah berulang-ulang kali. Pengulangan ini merupakan sebab mengapa surah al-Fatihah dinamakan juga sebagai al-Sab’u al-Mathaani yang bermaksud 7 ayat yang diulang-ulang. Pengulangan berlaku dalam kehidupan kita apabila ia merupakan sesuatu yang amat penting, teras dan dasar yang manusia tidak boleh hidup tanpanya. Kerana itu kita diajar, dipaksa malah mungkin dirotan agar mengulang-ulang hafalan kita terhadap sifir di dalam Matematik, kerana sifir itu adalah teras dan dasar ilmu pengetahuan yang kita sulit hidup tanpanya.

Di dalam surah al-Fatihah yang diulang-ulang sebanyak 17 kali sehari itu, kita berulang kali merayu kepada Allah Subhanahu wa Ta’aala agar mengekalkan diri di dalam petunjuk-Nya, hidup sebagai sebahagian daripada alladheena an’amta ‘alayhim (golongan yang Engkau kurniakan nikmat ke atas diri mereka). Golongan ini diterangkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala di dalam surah al-Nisaa’ ayat 69 sebagai: Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di Syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, Iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat)” [al-Nisaa’ 4: 69]
Berusaha untuk menjadi kaum yang beroleh rahmat dan karunia nikmat dari Allah, tidak sempurna jika sekadar mengejar Islam, tanpa menolak dan menghindarkan diri daripada lawan Islam iaitu Jahilillah. Sebagaimana kita berulang kali memohon hidayah-Nya, kita juga berulangkali mengisytiharkan penolakan kita kepada cara hidup kaum yang dimurkai Allah dan cara hidup kaum yang sesat dan bingung kepercayaannya. Itulah intipati erti jati diri seorang Muslim. Tersendiri pada kepercayaan dan cara hidupnya. Istimewa dan unik mengatasi kaum yang bersalut murka dan dusta. “Islam itu tinggi dan tiada sesuatu yang lebih tinggi daripadanya”
(Hadith riwayat al-Baihaqi dan dinilaikan sebagai sahih oleh al-Albani)

Ketinggian Islam itu bukanlah terletak pada nasab keturunan, bersikap hidung tinggi merasakan diri sebagai kaum pilihan Tuhan, tanpa sebarang nilai dan pengorbanan. Tingginya Islam adalah pada keluhuran prinsipnya dalam mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya, serta hubungan manusia sesama manusia. Islam menjelaskan dengan terang dan nyata akan erti hablun Minallaah, Islam menghuraikan Aqidah dengan luhur dan jelas sandaran. Islam juga memuliakan manusia dengan meninggikan keistimewaan manusia iaitu pada akal fikirannya. Justeru tidak tahyul dan pemaksaan kepercayaan kepada kita dalam melengkapkan diri sebagai seorang Muslim. Semuanya jelas dan luhur, serta mampu dipercayai oleh seorang manusia dan upaya dirinya.

Itulah Islam.

Bukan sahaja memurnikan jalan berTuhan dalam kehidupan, Islam juga mengatur hubungan manusia sesama manusia dengan sebaiknya. Islam menganjurkan perbuatan baik dan perkongsian manfaat sesama manusia, memuliakan keadilan, mengharam serta memerangi kezaliman dan penindasan.

Itulah Islam.
Kemuliaan yang bukan sebagai sebuah hadiah pemberian, tapi ganjaran atas mujahadah dan pengorbanan kita mencari kemuliaan itu. “Islam itu tinggi dan tiada sesuatu yang lebih tinggi daripadanya” (Hadith riwayat al-Baihaqi dan dinilaikan sebagai sahih oleh al-Albani)

Ketinggian Islam itu bukanlah terletak pada nasab keturunan, bersikap hidung tinggi merasakan diri sebagai kaum pilihan Tuhan, tanpa sebarang nilai dan pengorbanan. Tingginya Islam adalah pada keluhuran prinsipnya dalam mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya, serta hubungan manusia sesama manusia. Islam menjelaskan dengan terang dan nyata akan erti hablun Minallaah, Islam menghuraikan Aqidah dengan luhur dan jelas sandaran. Islam juga memuliakan manusia dengan meninggikan keistimewaan manusia iaitu pada akal fikirannya. Justeru tidak tahyul dan pemaksaan kepercayaan kepada kita dalam melengkapkan diri sebagai seorang Muslim. Semuanya jelas dan luhur, serta mampu dipercayai oleh seorang manusia dan upaya dirinya.

Itulah Islam.

Bukan sahaja memurnikan jalan berTuhan dalam kehidupan, Islam juga mengatur hubungan manusia sesama manusia dengan sebaiknya. Islam menganjurkan perbuatan baik dan perkongsian manfaat sesama manusia, memuliakan keadilan, mengharam serta memerangi kezaliman dan penindasan.

Itulah Islam!

Kemuliaan yang bukan sekadar sebagai sebuah hadiah pemberiaan, tapi ganjaran atas mujahadah dan pengorbanan kita mencari kemuliaan itu. Perayaan-perayaan bukan Islam seperti Hari Krismas dan Hallowen saling mengunjungi, bukan sahaja dengan sebutan-sebutan mulut malah turut hadir bersama jualan murah di kedai-kedai, promosi besar-besaran di media dan hiasan-hiasan di sepanjang jalan. Semua itu sudah tentu menjadi perang psikologi, sehinggakan mereka yang tidak turut serta, boleh terasa janggal, dicemuh sebagai “anti sosial” atau apa-apa label yang kurang menyelesakan. Tidak lama lagi, Hari Valentine pula muncul. Anak-anak muda, malah mungkin juga yang sudah “out of season” sedang menanti apakah surprise yang bakal disediakan oleh insan tersayang, menjelang 14- Februari akan datang. Apa kata, 14 Februari ini kita sediakan surprise yang paling bermanfaat, iaitu penjelasan berikut:

Di dalam sepotong Hadith yang terdapat di dalam Sunan Abi Dawood, Rasulullah SAW telah bersabda,
“Barangsiapa yang meniru atau berkumpul meramaikan sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan mereka”

Menjelang 14 Februari, kaum Nasrani dan masyarakat Barat sibuk meraikan Hari Valentine. Hari Kekasih yang disandarkan secara sejarahnya kepada Valentine of Rome, peristiwa mengenang Saint Valentine yang dikebumikan di Via Flaminia sekitar tahun 269M. Hari Valentine yang mengalami pelbagai penafsiran di sepanjang sejarah Eropah Moden akhirnya menjadi hari memuja kekasih, tidak terhad hanya kepada nilai, cara hidup dan kaum Nasrani di Barat, malah akhirnya menyerap sebagai budaya kaum Asia. Malang sekali, ritual yang tidak punya sebarang kaitan dengan kita sebagai kaum Muslimin, sedikit demi sedikit terserap sebagai budaya dan amalan anak-anak muda kita. Perlu ditegaskan, seorang suami berkewajipan menghargai sang isteri, begitu juga seorang isteri terhadap suaminya. Ia adalah sebesar-besar ajaran Islam. Namun penghargaan yang ingin diberi, telah ada caranya menurut ajaran Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Tidak seharusnya kita mengambil ritual kaum lain, apatah lagi dosa di atas dosa, tatkala penghargaan itu adalah pada sebuah perhubungan di luar akad perkahwinan! Para kekasih dan teman akrab, pada hari itu, akan saling menjadi musuh di antara satu sama lain, kecuali mereka yang bertaqwa” [al-Dzukhruf 43: 67]

Para kekasih yang berkasih dalam belenggu dosa, kasihnya hanya hiasan nafsu di dunia. Di akhirat kelak, tatkala para kekasih ini berdepan dengan keputusan Allah ke atas mereka, setiap seorang akan bermusuhan dengan orang yang pernah dikasihinya, kerana masing-masing mahu menyelamatkan diri. Hanya yang bertaqwa sahaja beroleh jemputan berikut:

Mereka – yang bertaqwa – itu, diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firmanNya): “Wahai hamba-hamba-Ku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan dan kamu pula tidak akan berdukacita”.(Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan kami, serta mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh, (Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): “Masuklah kamu ke dalam syurga bersama-sama isteri-isteri kamu (yang beriman), dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan” [al-Dzukhruf 43 : 68-4-70]

Jika mahu membalas cinta, balaslah dengan cara yang menyampaikan dua kekasih itu ke syurga. Bukan cinta berbalas dosa.Bukanlah soal bunga ros atau sekeping kad itu yang menjadi persoalan, tetapi kemusnahan jati diri sebagai seorang Muslim, dan sikap terhegeh-hegeh meniru segala yang datang daripada Barat itulah yang menjadi persoalannya.

Syaikhul Islam Ibnu Taymiah menulis di dalam kitabnya Iqtidha al-Sirat al-Mustaqeem (jilid 1, muka surat 470) menyebut, “Terdapat beberapa noktah penting yang mesti diberi perhatian apabila kita membincangkan tentang perayaan dan hari kebesaran golongan bukan Islam. Pertama; perayaan, hari kebesaran dan amalan adalah peraturan, undang-undang dan cara hidup dalam konteks yang luas. Allah SWT menyebut di dalam Al-Quran, “Bagi setiap umat itu telah Kami jadikan bagi mereka amalan yang mereka ikuti.” (Al-Hajj: 67) .

Tiada bezanya menyertai mereka di dalam perayaan dengan meyertai mereka di dalam amalan-amalan mereka yang lain. Bersetuju dengan perayaan mereka, adalah merupakan persetujuan ke atas perkara kufur. Bersetuju dengan mana-mana aspek kecil kepercayaan mereka adalah sama dengan kepercayaan terhadap cabang kufur. Malah, hari kebesaran (Holiday) dan perayaan salah satu kaedah utama yang membezakan adat dan undang-undang di antara satu kaum dengan kaum yang lain. Ia juga merupakan amalan yang paling menonjol bagi satu-satu bangsa. Redha dan bersetuju dengan perayaan itu adalah persetujuan terhadap perbuatan kufur paling khusus yang menjadi simbol bagi amalan dan cara hidup mereka. Tidak syak lagi, persetujuan seperti itu atau meletakkan diri pada ikutan terhadap situasi sedemikian rupa, hanya merebakkan kekufuran.”

Ini merupakan sedutan daripada kenyataan Syaikhul Islam Ibnu Taymiah yang cuba untuk memahamkan kita bahawa pesta-pesta dan sempena yang terhadap di sekeliling kita ini adalah simbol kepada cara hidup golongan bukan Islam. Tidak timbul soal sekadar hendak berseronok atau belajar bersosial, jika yang dilakukan itu adalah cabang redha kepada kufur yang hanya menatijahkan kemurkaan Allah SWT.

Lanjutan hal tersebut, para Ulama juga telah menegaskan bahawa perbuatan menyampaikan tahniah kepada golongan bukan Islam sempena hari kebesaran dan perayaan mereka, adalah sesuatu yang dilarang. Ibn al-Qayyim di dalam kitabnya Ahkam Ahl al-Dhimma (jilid 1, muka surat 205) menulis, ”Memberikan tahniah pada perayaan-perayaan tertentu yang dikhususkan kepada bukan Muslim dengan menyebut “Blessed holiday for you” atau apa-apa yang semakna dengannya, adalah dianggap tidak harus, pada persetujuan para Ulama. Walaupun seseorang itu mengucapkan tahniah di dalam keadaan bersih daripada mana-mana aspek kufur, ia tetap dianggap terlarang kerana tahniah itu adalah ucapan kita ke atas dosa-dosa besar seperti minum arak, berzina dan lain-lain perbuatan keji yang menjadi intipati perayaan tersebut. Ramai di kalangan mereka yang tidak begitu menjaga agama melakukan perbuatan seperti ini (mengucapkan tahniah) di dalam keadaan mereka tidak mengetahui betapa besarnya kejahatan yang mereka lakukan. Barangsiapa yang mengucapkan tahniah kepada seseorang atas mana-mana dosa atau kekufuran yang dilakukannya, maka dia telah mendedahkan dirinya kepada siksaan dan kemurkaan Allah SWT.”

Ibnu al-Qayyim juga telah menyimpulkan di dalam satu bahagian kitabnya tentang pendapat para Ulama berkaitan dengan hal ini. (Ahkam Ahl al-Dhimma, jilid 2, muka surat 722). Antara yang disebut, “Adalah tidak dibenarkan bagi para Muslim membantu golongan bukan Islam di dalam sambutan perayaan-perayaan mereka atau menghadiri majlis-majlis mereka berdasarkan kepada persetujuan para Ulama. Para ahli Fiqh yang mengikut keempat-empat mazhab yang muktabar itu juga telah menegaskan secara terang dan nyata di dalam kitab-kitab mereka. Abu al-Qasim al-Tabari menulis, “Adalah tidak dibenarkan bagi para Muslim menghadiri pesta dan hari kebesaran golongan bukan Islam kerana ia adalah dari jenis kebatilan yang keji. Jika golongan yang baik bercampur gaul dengan golongan yang jahat tanpa sebarang usaha untuk menghentikan apa yang dilakukan oleh golongan yang jahat itu, maka jadilah mereka sebahagian daripada mereka yang merestui kekufuran dan berada di bawah pengaruhnya. Dan sesungguhnya kita takut terjatuh ke dalam kemurkaan Allah disebabkan oleh keramaian mereka itu.”

Sabda Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
Kamu akan mengikuti sunnah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka memasuki lubang biawak (dhab) nescaya kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani, wahai Rasulullah? Sabda Baginda SAW: Ya, siapa lagi kalau bukan mereka?” - [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Setiap masa, suami tanyalah kepada isteri dan isteri tanyalah kepada suami, di manakah anak-anak kita. Jangan tidak lekatnya mereka di rumah itu, rupa-rupanya mereka sedang berbondong-bondong masuk ke lubang biawak Yahudi dan biawak Nasrani.

Ibn al-Qayyim juga menyatakan bahawa Ibn Al-Qasim tidak menyukai orang Islam memberikan hadiah kepada orang Kristian semasa perayaan mereka. Beliau menganggap perbuatan ini sebagai memberikan penghormatan kepada perayaan itu, dan membantu orang Kristian berkenaan berkekalan di dalam kekufurannya.

Al-Baihaqi yang merupakan ahli Hadith bermazhab Syafie, meriwayatkan dengan sanad yang sahih bahawa Abdullah ibn Umar R.A. menyebut “Barangsiapa yang tinggal di tanah air bukan Islam dan sama-sama menyambut perayaan-perayaan mereka serta berkelakuan seperti mereka sehingga dia mati, maka dia akan dibangkitkan bersama golongan Kuffar berkenaan pada hari Kiamat.”

Sesungguhnya kenyataan-kenyataan para Ulama ini menjadi amaran kepada diri kita agar tidak sewenang-wenangnya menelan segala yang ditemui di sini. Ada sesetengah kehidupan yang mana terdapat di tengah-tengah manusia yang hidupnya adalah pesta, gembira, joli sana dan joli sini tanpa menunggu hari dan masa yang tertentu. Oleh itu hendaklah kita berusaha memelihara diri dan Iman agar tidak mudah terkesan dengan perang psikologi 24/7 ini. Artikel ini tidak bermaksud untuk membincangkan tentang asal usul perayaan Valentine kerana kita boleh memperolehinya secara meluas menerusi internet.

Akan tetapi maksud perbincangan kita di sini adalah untuk mengingatkan diri tentang jati diri kita sebagai Muslim. Integrasi antara kaum dan rakan taulan tidak menuntut diri kita untuk sampai terheret kepada kemurkaan Allah SWT. Bahkan golongan bukan Islam juga tidak berhasrat untuk memberikan apa-apa manfaat kepada kita menerusi perayaan mereka melainkan ia akan berakhir dengan kita dan mereka, sama-sama terjerumus ke lembah yang hina. Cuma kita sebagai orang Islam yang sangat sensitif dengan soal harga diri dan Iman, membiarkan diri terjebak ke perbuatan-perbuatan imitasi buta itu hanya mencerminkan dangkal intelektual kalau tidak mampu disebut sampai ke dangkal Islam.

Jika benar kita mahu membuktikan kasih sayang, maka buktikanlah ia menerusi cara Islam yang halal, indah, penuh barakah dan tiada kesan sampingan. Tanpa perlu menunggu 14 Februari, berkahwin adalah Sunnah Nabi SAW, yang jika kita serius ke arah itu, susunkanlah agenda hidup ke arahnya dengan baik. Usahlah dibazirkan wang untuk membeli bunga ros, kad-kad ucapan, atau candle light dinner di restoran-restoran mahal, kerana semua itu adalah keindahan yang menjadi pagar-pagar kemurkaan dan neraka Allah SWT. Kumpulkan wang dengan baik, beli buku yang mengajar cara hidup rumah tangga Islam dan laluilah 14 Februari ini seperti kita melalui hari-hari yang lain, iaitu dengan mengulangkaji pelajaran, menghadiri majlis-majlis ilmu, beribadah dan berlumba-lumba mengejar kebaikan.

Semoga Allah mengurniakan kebaikan untuk kita semua.
Wallahu A'lam bi As-Sawaab.


Sumber